EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Sijil TVET buka peluang cerah graduan dapat pekerjaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 JUL: Kerajaan Negeri mengesyorkan graduan supaya mendapatkan sijil tambahan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan peluang dalam sektor pekerjaan.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, graduan sebaliknya tidak boleh bergantung kepada sijil diploma atau ijazah sahaja berikutan lambakan bidang pengajian di universiti tidak seiring kehendak semasa pasaran kerja.

“Ada dalam kalangan syarikat yang bukan hanya mahu lihat diploma atau sijil tertentu sahaja tetapi mereka memerlukan sedikit sijil kemahiran.

“Gandingan sijil dalam bidang pengajian tinggi dengan kemahiran akan mempercepatkan mereka mendapat pekerjaan dalam sektor kemahiran yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Hari Kerjaya @ Shah Alam, di Dewan Teratai Seksyen 19, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi; Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Mustafa Deraman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 7 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohamad Jamil Abdul Rahim.

Rodziah yang juga ADN Batu Tiga berkata, 90 peratus pelajar lepasan TVET diterima bekerja dalam pelbagai lapangan kerjaya sehingga kini.

Katanya, hal itu didorong pelaksanaan pelbagai program TVET oleh agensi kerajaan mahupun swasta demi memperkasa kemahiran tambahan.

“Kita mahu graduan mendaftarkan diri kerana terdapat banyak kaunter untuk mereka mendapatkan program kemahiran.

“Walaupun program kemahiran ini kebiasaannya tidak mengambil masa lama sekitar tiga hingga enam bulan, tetapi dengan tambahan sijil akan membantu mereka mendapat pekerjaan,” katanya.


Pengarang :