AGENSISELANGOR

7,420 anak yatim akan terima duit raya paling lewat 8 Mei – Yide

SHAH ALAM, 22 APRIL: Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) akan mengkreditkan sumbangan terus ke akaun 7,420 anak yatim atau penjaga mereka selewat-lewatnya 8 Mei ini, kata pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan diagihkan tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini yang disampaikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam satu majlis keraian.

“Bagaimanapun, anak yatim tahun ini akan menerima sumbangan duit RM100 seorang yang akan dikreditkan terus ke akaun mereka atau penjaga secara berperingkat selewat-lewatnya 8 Mei ini.

“Tiada majlis kerainan buat anak-anak yatim tahun ini kerana penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebanyak RM742,000 diperuntukkan kepada anak yatim tahun ini hasil sumbangan Majlis Agama Islam Selangor, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta serta syarikat korporat.

Pecahan sumbangan mengikut daerah melibatkan anak yatim di Klang seramai 1,288, Petaling (1,267), Sabak Bernam (400), Kuala Selangor (763), Hulu Langat (1,179), Sepang (330), Gombak (1,121), Hulu Selangor (543) dan Kuala Langat (529).

Pada masa sama, Yide turut membuka peluang kepada umat Islam untuk memberi sumbangan dan berinfaq pada bulan Ramadan melalui pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih mudah dan selamat.

Mereka yang ingin menderma boleh terus ke Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/; perbankan internet; aplikasi Jom Pay (Biller Code: 81059) dan Aplikasi Snap and Pay.

Semua sumbangan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan mengikut Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN.01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui Resit Rasmi, Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).


Pengarang :