Pelumba basikal lelaki negara Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff berjaya memenangi emas dalam acara lebuhraya lelaki pada Sukan SEA ke-31, Hanoi pada Mei lalu. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA 2023: PKBM sasar dua emas acara berbasikal lebuh raya

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yakin Malaysia mampu meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas dalam acara berbasikal lebuh raya di Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Presidennya Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata sasaran itu berdasarkan prestasi dan kejayaan yang diraih pelumba pilihan pada Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan selama empat hari di sekitar Perak yang berakhir hari ini.

“Seperti yang kita tahu Malaysia menang pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Vietnam. Bukan mudah untuk mempertahankan pingat emas tetapi PKBM telah nampak formula untuk mempertahankan pingat emas tersebut.

“Rasanya pelumba profesional daripada kelab benua seperti Team Sapura Cycling (TSC) dan Terengganu Polygon Cycling Team akan sekali lagi memainkan peranan untuk membawa pulang pingat emas menerusi disiplin lebuhraya di Kemboja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) menegaskan Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan telah menyerlahkan minat mendalam para pelumba terhadap sukan berbasikal dengan hampir 500 peserta mengambil bahagian.

Menurutnya, pada kejohanan itu PKBM turut bersikap terbuka dengan membenarkan semua pelumba memilih menyertai acara yang diinginkan.

Sebagai rekod, Malaysia merangkul pingat emas acara lebuh raya lelaki di Sukan SEA ke-31 bulan lepas menerusi Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff dari Terengganu Polygon Cycling Team.

Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan menyaksikan pelumba TSC Muhsin Al Redha Misbah dan Nur Aisyah Mohamad Zubir dari pasukan Terengganu A masing-masing menjuarai acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita, semalam.

Dalam acara ujian masa perseorangan (ITT) elit yang berlangsung Jumaat lepas, Muhammad Nur Aiman Rosli dari TSC dan wakil Johor A Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad masing-masing mendominasi saingan kategori lelaki dan wanita.

Pemenang pingat emas acara scratch wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Asia ke-28 di New Delhi, India baru-baru ini, Nyo Chi Hui dari Perak pula muncul juara acara lepas beramai-ramai remaja wanita, semalam.

Dalam pada itu, pada hari terakhir Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan hari ini menyaksikan Mior Muhammad Hazwan Hamzah dari TSC menjuarai acara lepas beramai-ramai lelaki Bawah 23 Tahun sejauh 165.2 kilometer (km) dengan catatan masa tiga jam 55:59 saat (s).

Beliau menewaskan pelumba Terengganu A Zhe Yie Kee yang merakam 3’58:47s di tempat kedua manakala tempat ketiga menjadi milik Mohamad Faiz Fakhri Omar dari Perak dengan catatan masa sama.

– BERNAMA


Pengarang :