GLOBAL

AS bakal pintas Arab Saudi pengeluar minyak kedua terbesar dunia

PARIS 20 JAN: Amerika Syarikat (AS) bakal memintas Arab Saudi sebagai pengeluar minnyak mentah kedua terbesar dunia selepas Rusia pada tahun ini.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan ia berikutan peningkatan penggerudiansyarikat minyak AS yang tertarik dengan kenaikan harga minyak global, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Pengeluaran minyak mentah sebanyak 9.9 juta tong sehari di AS sekarang adalah yang tertinggi dalam tempoh hampir 50 tahun sekali gus meletakkan negara itu setanding dengan Arab Saudi sebagai pengeluar minyak mentah kedua ter­besar dunia selepas Rusia, kata IEA.

“Namun, kerja penggerudian berterusan akan menyaksikan AS mencatat sejarah pengeluaran tertinggi baharu lebih 10 juta tong sehari pada tahun ini, mendahului Arab Saudi dan bersaing dengan Rusia.

“Situasi ini akan berlaku dengan syarat perjanjian mengehadkan pengeluaran minyak oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan OPEC dikekalkan,” tambahnya.

Lambakan bekalan mendorong harga minyak global menjunam serendah AS$30 (RM118) setong pada awal tahun 2016.

Namun, negara-negara pengeluar minyak termasuk anggota OPEC memeterai perjanjian pada akhir tahun 2016 untuk mengurangkan pengeluaran bagi menaikkan harga minyak.

Harga minyak mentah naik lebih AS$70 (RM276) setong selepas OPEC dan negara bukan OPEC bersetuju melanjutkan persetujuan tersebut sehingga hingga akhir tahun ini.

SUMBER: AFP


Pengarang :