SELANGOR

Ladang Buah Naga Sepang, tembusi pasaran asing

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEPANG, 21 JUL: ‘Dragon Fruit’ atau Buah Naga, antara produk keluaran tempatan dari daerah ini yang mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.

Pengusahanya, Daniel Lee Chee Wei, 38, berkata, produk itu malahan berjaya menembusi pasaran Hong Kong, Taiwan dan Singapura.

“Setiap kali buah naga masak dengan menghasilkan warna seakan merah jambu, kami akan mengutip hasil dalam satu masa kerana ia perlu dieksport pada kadar segera supaya tidak rosak.

“Pada masa sama, kami amat menekankan aspek kawalan penjagaan, apatah lagi kualiti buah memandangkan pasaran kami bukan hanya dalam negara, tetapi ke peringkat pasaran asing.

“Kami mahu pelanggan meletakkan kepercayaan tinggi terhadap produk ini dan sudah tentu kami mengharapkan kebolehpasaran secara berterusan,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui pada ‘Media Familirization Trip’ Tourism Selangor, di sini, semalam.

Anak jati Sepang itu memulakan perusahaan tanaman buah naga sejak 2005, dengan hanya berbekalkan dua ekar tanah milik bapanya.

Namun, berkat kesungguhan yang tidak canggung berjemur di bawah panas matahari, beliau kini sudah melebarkan sayap dalam bidang usahawan apabila turut mengerjakan tanaman sama di Rembau dan Tampin, Negeri Sembilan.

Di samping itu, Lee berkata, dari segi pengeluaran produk, sebanyak 400 pokok boleh ditanam bagi setiap ekar tanah .

“Setiap ekar pula boleh dapat hasil sebanyak 500 kilogram. Dengan keluasan 30 ekar yang ada di sini, kami boleh hasilkan sehingga 15,000 kilogram.

“Namun, bergantung kepada keadaan semasa juga, kalau hasilnya kurang, sebatang pokok hanya 50 biji dan keuntungan akan sedikit terjejas.

“Setakat ini, saya bersyukur kerana pendapatan hasil pengeluaran masih lagi stabil,” katanya.


Pengarang :