SUKANKINI

SCLM eratkan komuniti penyokong kelab Eropah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 OKT: Hubungan antara penyokong kelab terkenal Eropah di Malaysia diperkukuhkan dengan kejohanan bola sepak Supporters Champions League Malaysia (SCLM).

Ahli Jawatankuasa Penganjur kejohanan terbabit, Noor Azan Khamis berkata, kejohanan edisi ketujuh itu membabitkan 10 pasukan penyokong kelab Eropah yang bertapak di Malaysia.

“Objektif utama kejohanan ini adalah mengeratkan hubungan antara penyokong yang berdaftar dengan kelab penyokong pasukan masing-masing.

“Kejohanan ini terbuka kepada peringkat umur 16 tahun ke atas di mana golongan junior bermain di atas padang sama dengan golongan lebih senior,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada hari pembukaan kejohanan itu di Padang Bola Sepak Setia Eco Ardance di sini, semalam.

Noor Azan berkata, kejohanan itu tidak menawarkan hadiah wang tunai seperti mana kebanyakkan kejohanan lain tetapi hanya medal dan piala.

Katanya, langkah ini diambil bagi memelihara matlamat utama kejohanan yang mengutamakan semangat kesukanan dan perpaduan antara penyokong kelab.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang insiden pergaduhan berlaku sepanjang kejohanan itu dianjurkan.

“Kami mengenakan syarat tertentu antaranya pengurus pasukan hendaklah mampu mengawal pemain pasukan masing-masing.

“Kami juga menyaring terlebih dahulu pasukan yang ingin menyertai kejohanan ini di mana tidak semestinya semua pasukan yang memohon boleh sertainya,” katanya lagi.

Sementara itu, pada perlawanan pembukaan semalam, menyaksikan pasukan My Barca menang bergaya dengan menundukkan My Galatasary 4-1.

Pengurus My Galatasary, Mohd Saiful Omar Mohamed Salleh berkata, pihaknya sudah mengenalpasti kelemahan pasukan dan akan memperbaikinya pada perlawanan akan datang.

“Insha Allah kami akan bangkit pada perlawanan seterusnya dengan melakukan beberapa perubahan penting,” katanya.


Pengarang :