NASIONAL

Johor giat kenal pasti kawasan sesuai pindah kilang

SHAH ALAM, 2 APR: Kerajaan Johor sedang mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai dijadikan tapak untuk memindahkan kilang-kilang yang terdapat di kawasan Pasir Gudang.

Menteri Besarnya, Datuk Osman Sapian berkata, ia bertujuan mengelakkan insiden pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, yang berlaku pada 7 Mac lalu berulang selain menjamin alam sekitar (yang bersih) di kawasan itu.

Katanya, ia juga berikutan pihaknya sedang merancang menaik taraf Pasir Gudang kepada sebuah bandaraya kerana penduduk di kawasan tersebut hampir mencecah 600,000 orang.

“Tempat itu (Pasir Gudang) agak tidak sesuai untuk kita beri kelulusan bagi membina kilang-kilang yang akhirnya akan mencetuskan mungkin perkara sedemikian rupa (insiden Sungai Kim Kim).

“Jadi, kita sedang merancang untuk mengenal pasti satu kawasan yang lain, mungkin yang jauh dari Pasir Gudang yang sesuai untuk kita beri kelulusan sekiranya ada kalangan mereka untuk membina, sama ada kilang industri ringan atau industri sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri ucapan penggulungan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk ‘Reformasi Institusi’ sempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata insiden berkenaan sememangnya berpunca akibat proses pengilangan yang telah wujud sejak 30 tahun lalu di kawasan tersebut.

“Pada ketika itu Pasir Gudang belum ada pembangunan pesat dan agak sesuai masa itu (untuk mendirikan industri kilang), tetapi hari ini tidak sesuai. Jadi, kita nak ‘relocate’ ke tempat lain bagi menjamin alam sekitar di sana.

“Mungkin di bahagian Kota Tinggi atau kawasan sebelah Kluang, atau Simpang Renggam, dan sebagainya,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :