NASIONAL

Polis tangkap suspek kes bunuh di Desa Mentari

KUALA LUMPUR, 20 Jun : Seorang lelaki tempatan ditahan hari ini kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan lelaki warga Indonesia di kawasan parkir Apartmen Desa Mentari, Sungai Way, Petaling Jaya semalam.

Siasatan awal polis mendapati ia ada kaitan dengan soal bayaran ubah suai rumah yang tidak dijelaskan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata lelaki warga emas berusia 61 tahun berasal dari Sabah itu ditahan di Rawang pada 11.55 pagi.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat serbuan di sebuah restoran di Rawang pagi tadi.

“Hasil serbuan itu, kami berjaya menahan suspek yang menetap di lokasi kejadian kes bunuh itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zani berkata sebuah motosikal dan pisau berukuran 20 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kes bunuh itu turut dirampas.

“Hasil soal siasat awal yang dilakukan, suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu. Ini kerana mangsa dikatakan tidak mahu membayar upah ubah suai rumah yang dilakukan suspek,” kata Mohd Zani.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Idris, 45, dilaporkan maut akibat ditikam menggunakan senjata tajam selepas minum pagi bersama rakannya pada 11.30 pagi. -BERNAMA


Pengarang :