Selangorkini
Datuk Abdul Rashid Asari. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Malaysia perlu pendakwah seperti Zakir Naik – BERSATU Selangor

PULAU KETAM, 25 OGOS: Malaysia memerlukan pendakwah yang bijak dan handal seperti Dr Zakir Naik untuk berkongsi ilmu berkaitan agama, tegas Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Katanya, pendakwah itu mempunyai kemahiran tersendiri termasuk handal dalam ilmu perbandingan agama yang dilihat amat diperlukan masyarakat hari ini.

“Ilmu yang ada pada Dr Zakir Naik perlu dimanfaatkan oleh kita sebaiknya. Pada saya Ustaz Zakir sebelum ini lebih banyak diprovok terutama ketika sesi soal jawab dan melalui sesi sedemikianlah ramai yang salah anggap padanya.

“Pada saya, Malaysia cukup bertuah kerana mendapat tetamu seperti Ustaz Zakir dan jika beliau dihantar balik ke India, sudah tentu ia menjadi satu kerugian.

“Oleh itu, saya menentang cadangan yang menggesanya pulang ke India,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 22 Ogos lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menegaskan Zakir tidak akan dihantar pulang jika beliau tidak membuat sebarang masalah.

Dr Mahathir juga berkata, Malaysia tidak boleh mengusir Zakir kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah kontroversi itu selain beliau sudah diberikan taraf penduduk tetap di negara ini.

Penceramah itu kini sedang disiasat polis ekoran kenyataannya semasa berucap di Kelantan, baru-baru ini yang dikatakan berbaur perkauman.


Pengarang :