Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Skim Air Darul Ehsan: Siapa layak dapat air percuma?

1) Apakah itu Skim Air Darul Ehsan?

Skim Air Darul Ehsan adalah program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk Negeri Selangor.

2) Siapakah yang layak menikmati Skim Air Darul Ehsan?

Skim Air Darul Ehsan ini layak dinikmati pengguna-pengguna yang menepati syarat-syarat seperti berikut:

i. Pemohon atau pasangan adalah warganegara Malaysia dan menetap di Negeri Selangor
ii. Pendapatan bulanan isi rumah (suami dan isteri atau salah seorang sekiranya bujang/tiada pasangan) RM4,000 dan ke bawah
iii. Premis kediaman meter individu dan meter pukal (Pangsapuri Kos Rendah)
iv. Penghuni Pangsapuri Kos Rendah yang menerima bekalan air melalui meter pukal perlu mendapat pengesahan Badan Pengurusan Bersama (JMB)/Perbadanan Pengurusan (MC)
v. Pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun/premis sahaja

3) Sebelum ini saya dapat menikmati bekalan air percuma 20 meter padu pada setiap bulan. Adakah saya masih layak untuk masa akan datang?

Pengguna yang menikmati bekalan air percuma 20 meter padu pada setiap bulan akan terus menikmati keistimewaan sehingga 29 Februari 2020. Pengguna hendaklah membuat permohonan yang baharu.

Sekiranya layak, pemohon dapat menikmati bekalan air percuma melalui Skim Air Darul Ehsan bermula pada 1 Mac 2020.

4) Apakah yang dimaksudkan dengan pendapatan isi rumah bawah RM4,000?

Pendapatan bulanan isi rumah (suami dan isteri atau salah seorang, bujang atau tiada pasangan) di bawah RM4,000.

5) Apakah pemohon dan pasangan keluarga yang berpendapatan lebih dari RM4,000 boleh memohon Skim Air Darul Ehsan?

Tidak layak kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

6) Kami mempunyai pendapatan isi rumah lebih dari daripada RM4,000 kerana termasuk pendapatan anak kami yang tinggal serumah. Adakah kami layak memohon Skim Air Darul Ehsan?

Permohonan hanya mengambil kira pendapatan suami dan isteri sahaja, sekiranya pendapatan suami dan isteri melebihi RM4,000, anda tidak layak menikmati Skim Air Darul Ehsan.

7) Saya tidak mempunyai pendapatan tetap, tidak ada slip gaji dan tidak pernah mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), adakah saya layak memohon?

Ya, anda layak memohon tertakluk kepada syarat permohonan dan semakan kelayakan.

8) Adakah isteri yang kematian suami layak memohon?

Ya, layak memohon tertakluk kepada syarat permohonan dan semakan kelayakan.

9) Saya tinggal di Putrajaya tetapi mempunyai rumah di Selangor, adakah saya layak memohon?

Anda layak memohon bagi akaun air di Selangor tertakluk kepada syarat permohonan dan semakan kelayakan.

10) Adakah penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya layak untuk memohon Skim Air Darul Ehsan?

Tidak, hanya untuk penduduk di Negeri Selangor sahaja.

11) Adakah penyewa layak memohon Skim Air Darul Ehsan ini?

Ya, penyewa layak memohon sekiranya menyewa di Negeri Selangor dan menepati syarat-syarat permohonan.

12) Kami menyewakan rumah. Bolehkah penyewa saya memohon walaupun akaun air adalah didaftar atas
nama saya?

Ya, penyewa Tuan/Puan boleh memohon sekiranya layak dan menepati syarat-syarat permohonan.

13) Kami adalah pelajar yang tiada pendapatan dan menyewa beramai-ramai di Selangor. Adakah kami layak memohon?

Ya, penyewa layak memohon jika menepati syarat-syarat permohonan tertakluk kepada semakan Kerajaan Negeri Selangor.

14) Saya ada 5 buah rumah dan layak menerima. Adakah semua premis akan menerima Skim Air Darul Ehsan?

Hanya SATU akaun/premis sahaja boleh dipohon.

15) Sekiranya saya berpindah, bolehkah menerima Skim Air Darul Ehsan?

Ya, pemohon boleh memohon sekiranya masih menetap di Negeri Selangor.

16)Saya tinggal di rumah pangsa kos rendah dan tiada akaun air dengan Air Selangor. Akaun kami adalah dengan JMB. Adakah saya layak dan bagaimana cara untuk memohon?

Ya, anda boleh memohon dan perlu merujuk serta mendapatkan pengesahan MC/JMB Pangsapuri kediaman anda.

17) Bagaimanakah cara untuk memohon Skim Air Darul Ehsan?

i. Permohonan Skim Air Darul Ehsan boleh dibuat secara atas talian melalui laman sesawang www.ssipr.selangor.gov.my
ii. Borang permohonan boleh dimuat turun atau diperolehi melalui saluran berikut:
• www.airselangor.com
• Kaunter Perkhidmatan di sepuluh (10) pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.
iii. Borang permohonan yang telah lengkap boleh dihantar melalui emel ke [email protected] atau melalui mana-mana Kaunter Perkhidmatan di sepuluh (10) pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.

18) Bilakah tempoh pendaftaran Skim Air Darul Ehsan bermula?

Pendaftaran Skim Air Darul Ehsan akan bermula pada 30 September 2019 sehingga 31 Disember 2019.

19) Bilakah Skim Air Darul Ehsan akan dilaksanakan?

Perlaksanaan Skim Air Darul Ehsan ini akan bermula pada 1 Mac 2020.

20) Setelah saya mendaftar, bilakah saya akan dimaklumkan tentang status permohonan ini?
Sebelum 1 Mac 2020 dan setelah tempoh pendaftaran berakhir.

21) Selepas tamat tempoh pendaftaran yang ditetapkan, bila lagi masa yang saya boleh mendaftar?

Pemohon hendaklah mengemukakan permohonan baharu sebaik pendaftaran dibuka semula tertakluk kepada tarikh yang akan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

22) Setelah pendaftaran, berapa lamakah tempoh pemprosesan untuk kelulusan permohonan pemberian air percuma diterima oleh pemohon yang berjaya?

Permohonan anda akan diproses selepas tempoh pendaftaran tamat dan keputusan akan diketahui sebelum tarikh perlaksanaan pada 1 Mac 2020.

23) Adakah wakil boleh membuat permohonan bagi individu yang layak memohon?

Permohonan hendaklah dibuat oleh pemohon sendiri atau pasangan.

24) Perlukah saya melampirkan dokumen sokongan untuk permohonan Skim Air Darul Ehsan?

Tidak perlu, asalkan borang permohonan yang diserahkan lengkap. Sekiranya borang permohonan tidak lengkap, borang tersebut tidak akan diproses.

Untuk maklumat lanjut layari
www.airselangor.com atau hubungi talian 15300

Borang Permohonan Skim Air Darul Ehsan (KLIK DI SINI)


Pengarang :