AGENDANASIONAL

Kerajaan Persekutuan terus bantu Kelantan walaupun difitnah, dicemuh

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan separuh Wang Ihsan terus kepada Kerajaan Kelantan, malah membantu memberikan wang pendahuluan termasuk untuk membayar gaji anggota kerajaan negeri pembangkang itu walaupun berhadapan pelbagai cemuhan dan fitnah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk membuat bayaran 50 peratus Wang Ihsan bukan kepada entiti Kerajaan Persekutuan, tetapi terus kepada Kerajaan Kelantan.

Sebelum ini, pembayaran Wang Ihsan diberikan secara tahunan kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan sebuah entiti Kerajaan Persekutuan secara 50:50.

“Saya ingin menegaskan bahawa bayaran Wang Ihsan dan perkara perihal petroleum dan Petronas bukanlah di bawah bidang kuasa saya, dan saya hanya menurut arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Saya berasa kecewa dengan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan kebencian dengan melontarkan fitnah bahawa saya cuba menghalang pembayaran, pada hakikatnya pembayaran hanya boleh dibuat atas arahan Perdana Menteri,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, beliau sukar memahami bagaimana Kerajaan Negeri Kelantan hari ini menganggap pihak sebelum ini (Kerajaan Barisan Nasional) yang tidak menyalurkan bayaran Wang Ihsan kepada Kerajaan Negeri tersebut sebagai rakan setia, bahkan menganggap Kerajaan Persekutuan hari ini yang menyalurkan bayaran Wang Ihsan secara langsung kepada negeri itu sebagai musuh ketat.

Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa komitmen untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan telah dilaksanakan sungguhpun berhadapan pelbagai cemuhan dan fitnah, dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, telah pun mengesahkan bayaran Wang Ihsan sebanyak RM15.75 juta disalurkan kepada kerajaan negeri itu pada 18 September yang lalu, katanya.

Kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran dalam bentuk Wang Ihsan kepada Kerajaan Negeri Kelantan bagi mengelakkan negeri pantai timur itu terperangkap dalam kemelut perundangan, namun perkiraannya adalah berasaskan lima peratus daripada hasil petroleum bagi menentukan bayaran tersebut kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan telah menerima surat bertarikh 12 September daripada Pegawai Kewangan Negeri Kelantan sekali lagi memohon bantuan Kerajaan Persekutuan dalam bentuk wang pendahuluan, bagi memenuhi obligasi perbelanjaan operasinya termasuk membayar gaji dan emolumen anggota pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya telah meluluskan permohonan pendahuluan sebanyak RM100 juta pada 14 Oktober yang lalu, untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan membiayai perbelanjaannya termasuk pembayaran gaji anggota pentadbirannya sehingga hujung tahun 2019.

Tambah Lim, ia bukan kali pertama Kerajaan Kelantan membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan yang baharu untuk wang pendahuluan termasuk bagi membantu membayar gaji warga perkhidmatan Kerajaan Negeri.

Pada tahun 2018, permohonan wang pendahuluan sebanyak RM91.5 juta untuk membayar perbelanjaan operasinya termasuk gaji anggota Kerajaan Negeri Kelantan juga telah diluluskan.

Lim berharap dengan adanya Wang Ihsan dan wang pendahuluan tersebut dapat membantu Kerajaan Kelantan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri dan seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat negeri itu.

– BERNAMA


Pengarang :