EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Haniza Mohamed Talha melawat ruang pameran di Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX), MAPEX Shah Alam/Klang di Central I-City, Shah Alam pada 15 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Rebut peluang miliki hartanah di Selangor dalam MAPEX 2019

SHAH ALAM, 15 NOV: Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX 2019) peringkat Selangor mendapat sambutan menggalakkan berikutan peningkatan jualan daripada 11,200 unit kepada 12,000 unit bernilai RM7.5 bilion hanya dalam masa singkat.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, orang ramai yang ingin membeli hartanah tidak wajar melepaskan pelbagai tawaran yang disediakan dalam ekspo ini.

“Dalam MAPEX 2019 pihak pemaju memberi pelbagai tawaran seperti diskaun, yuran penyelenggaraan percuma beberapa tahun, duti setem dan yuran guaman percuma.

“Ini adalah masa terbaik untuk membeli hartanah kediaman sebelum kempen ini berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan MAPEX Shah Alam/Klang 2019 di Central I-City di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Cawangan Selangor, Zulkifly Garib berkata, REHDA menjangkakan nilai jualan dalam ekspo ini terus meningkat sebelum berakhir tahun ini.

“Keadaan ini memberi gambaran bahawa permintaan pasaran terhadap hartanah di Selangor masih baik,” katanya.

MAPEX Shah Alam/Klang yang berlangsung sehingga 17 November meliputi pelbagai jenis hartanah berharga daripada RM289,000 hingga RM2.5 juta.

Bagi edisi Shah Alam dan Klang ini sahaja menawarkan 2,800 unit hartanah.

Ekspo bertemakan ‘Rumah Berkualiti Untuk Kehidupan Yang Lebih Baik’ itu disertai 11 pemaju dan satu institusi kewangan.


Pengarang :