Pasukan polis Bolivia mengawal keadaan dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan daripada penyokong bekas Presiden negara itu, Evo Morales yang mengadakan demonstrasi di La Paz pada 14 November 2019. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Rakyat Malaysia kongsi detik cemas deruman jet pejuang di Bolivia

KUALA LUMPUR, 15 NOV: “Dengan jalan keluar masuk kenderaan ditutup di semua tempat dan sekali sekala kedengaran bunyi tembakan amaran dengan gas pemedih mata yang dilepaskan, saya turut merasa pedihnya meskipun menginap dalam hostel”.

“Bunyi deruman jet pejuang kedengaran setiap hari (pada sebelah) petang sejak tiga hari lepas,” kata seorang rakyat Malaysia dalam mesej WhatsAppnya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau kini berada di Bolivia yang sedang dilanda ketegangan politik.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Syameen Abd Raub yang bercuti di La Paz, ibu kota Bolivia sejak Sabtu lepas (9 November) berkata, pengusaha hostel yang didiaminya mengambil langkah berjaga-jaga menurunkan papan tanda hostel supaya tidak menjadi sasaran penunjuk perasaan yang ingin mengambil kesempatan dengan keadaan politik semasa negara itu.

“Nasib baik, penunjuk perasaan tidak melalui lorong hostel kami. Tiada perintah berkurung dikenakan setakat yang saya tahu, cuma tidak digalakkan keluar.

“Mula-mula keadaan dijangka aman setelah Presiden Bolivia ketika itu (Evo Morales) letak jawatan, tetapi sekarang penyokongnya pula melakukan protes di jalanan,” kata doktor gigi berusia 28 tahun yang berasal dari Kampung Delek, Klang, Selangor.

Bolivia terjerumus dalam kancah kekacauan apabila penunjuk perasaan membantah keputusan pilihan raya presiden pada Oktober lalu yang menyaksikan Morales mengumumkan kemenangannya untuk penggal keempat.

Morales kemudian dipaksa meletak jawatan pada Ahad selepas menerima tekanan daripada pihak tentera dan polis.

Pada Selasa, beliau tiba di Mexico selepas diberikan suaka politik. Naib Speaker Kedua Senat, Jeanine Anez, mengumumkan dirinya sebagai presiden sementara.

Lantaran pergolakan itu, nasihat perjalanan dikeluarkan oleh kedutaan United Kingdom dan Amerika Syarikat di Bolivia.

Mengulas lanjut, Muhammad Syameen, anak ketiga daripada lima beradik, berkata, hampir keseluruhan sistem pengangkutan darat ketika ini lumpuh di mana stesen bas ditutup dan hasil maklumat diterima, mengambil kemudahan penerbangan adalah pilihan terbaik ketika ini untuk keluar dari negara itu memandangkan lapangan terbang sudah mula beroperasi.

“Nasihat saya kepada mereka yang ingin ke Bolivia, batalkan perjalanan kalau sudah beli tiket penerbangan. Mereka sendiri (rakyat Bolivia) tidak tahu sampai bila perkara ini akan berlanjutan.

“Tangguh dulu perjalanan sehingga keadaan stabil,” katanya.

Muhammad Syameem berkata, pegawai konsular kedutaan Malaysia di Peru sentiasa berhubung dengan beliau menerusi e-mel dengan menasihatkannya supaya sentiasa berada dalam hostel sehingga keadaan kembali aman di Bolivia.

“Isu mendapatkan bekalan makanan tidak menjadi masalah sebab ada restoran dalam hostel yang didiami,” katanya.

Mengenai jadual perjalanan seterusnya, Muhammad Syameem berkata, beliau bercadang pergi ke Argentina menerusi penerbangan esok.

“Kalau ikutkan, ia cuma mengambil masa 20 minit untuk sampai ke lapangan terbang dari hostel dan saya akan minta pihak hostel uruskan teksi untuk saya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :