BUDAYARENCANA

Di bawah sebatang tiang

Oleh Nur Ilyani Alias

Saksi 1: Cerita Tabib Yang Melewati Rumah Tuk Tua

Ya! Memang tak silap. Sah!

Kebiasaannya, kalau aku pergi ke kedai Mek Dah, memang dia sudah tercongok di atas pelenggar. Kalau tidak pun, dia akan makan sireh pinang sambil jahit kain jalur merah putih yang berbintang bulan kuning sampai elok. Jarang sungguh aku tak nampak dia kalau lintas rumah ni pagi-pagi. Tapi, kukira dia masih tidur atau paling kurang tidak sihat. Tidaklah aku panggil dia pula.

Aku memang tabib. Tetapi untuk menampung belanja rumah tangga, aku perlu ada kerja lebih. Kadang-kadang tiga kerja aku buat dalam satu masa. Aku bukannya ada kedai tabib. Dahulu pernah ada, tetapi tutup sebab mahal harga untuk cukai pelbagai benda. Tengah hari aku pulang dari menebas, masih tidak nampak kelibat Tuk Tua. Siapa kata dia tidak ramah? Eish! Simpang ujaran kau kalau tuduhnya begitu. Tuk Tua sangat ramah dan penyayang. Dia pemimpin tempat ini. Kalau ada masalah orang berkelahi, dialah  tempat dituju untuk mendapat nasihat. Di sekeliling rumahnya penuh pelbagai jenis kandang haiwan. Penyayang orangnya. Aku juga masih bingung, ke mana orang tua ini? Setiap hari dia akan tegur pakaianku yang lusuh serta kadang-kadang dipenuhi selut. Katanya, dah sampai masa kau kerja dengan aku. Jadi tukang kebun di rumahku ini. Aku masih ingat. Bahkan, terngiang-ngiang sehingga sekarang.

Aku buat tidak endah sehinggalah masuk waktu Maghrib, ketika aku hendak ke masjid. Rumahnya memang laluan orang kampung ke masjid. Rumahnya terang benderang tetapi kelibatnya tiada.

Akukan tabib. Aku kira…

Sahlah! Orang tua ini sudah hilang.

Saksi 2: Rasa Hati Marlina Akan Kehilangan Tuk Tua

Mengapa ini boleh berlaku? Aku salah seorang isterinya – yang paling muda, sembilan belas tahun. Rumahnya mempunyai empat belas bilik. Sudah 62 tahun rumah tersebut tersergam di tanah ini. Walaupun dia mempunyai 14 buah bilik tetapi dia lebih gemar meluangkan banyak masa di perpustakaan (bilik yang paling luas dan mempunyai koleksi buku mengalahkan bilangan buku di Perputakaan Utama Universiti Teknologi Petronas)

Pemarah? (Ketawa)

Jarang sekali dia marah. Tegas, ya.

Sekiranya ada antara maduku yang bergaduh, dia akan rundingkan sehingga damai. Sedangkan lidah lagi tergigit, apatah kami yang bermadu. (Ketawa) Setiap malam dia akan pergi ke empat-empat bilik untuk menemani kami. Ya, memang empat bilik sahaja yang digunakan. Kerana, kami empat orang isteri. Oh, bilik yang sepuluh lagi milik bekas isterinya. Sekarang, bilik-bilik tersebut didiami oleh anak-anaknya yang seramai puluhan orang.

Kaya? (Mengangguk)

Pasti sekali. Lihat sahaja rumahnya yang gah tersergam indah dengan bayaran utiliti sebanyak lima ribu ringgit sebulan. Tetapi, dia langsung tidak pernah menunjuk-nunjuk. Sumpah, kami tidak tahu ke mana dia menghilang. Sejak pukul dua belas tengah malam tadi, kelibatnya langsung tidak nampak. Dia keluar dari bilikku yang paling akhir. Aku lihat dia terus menuju ke perpustakaan sambil menikmati segelas kopi kosong. Selepas itu, aku dengar bunyi enjin kereta. Tidak pula aku mengintai kerana sudah lewat malam.

Bantu kami carikan dia sehingga jumpa. Dia ialah ketua keluarga. Sukar kami hendak teruskan hidup tanpa pemimpin rumah; tambah-tambah aku sedang hamil anak kelima.

Saksi 3: Titipan Penjaga Pintu

Inilah pekerjaanku setelah keluar dari penjara sepuluh tahun dahulu. Sebelumnya, aku seorang pemilik syarikat pengeluar utama hasil bumi negara. Akibat korupsi, aku lingkup. Dia yang menaruh kepercayaan kepadaku dengan mengambilku sebagai Tukang Jaga Pintu dengan gaji lumayan. Aku belum berkahwin dan memang tiada sesiapa hendak mengahwiniku- barangkali kerana ada cop banduan di dahiku. Sehingga kalau aku ke masjid, masih kedengaran bisik-bisik nakal tentang kondisi diriku. Semalam, aku tolong dia tegakkan tiang di sebelah dapur. Tiang tersebut miring ke kanan. Sebab pesaknya sudah kena makan anai-anai.

Pagi-pagi lagi Tuk Tua sudah keluar. Pagi yang aku maksudkan ialah pukul satu pagi. Dia hendak ke suatu tempat. Tidak pula aku tanyakan kerana dia tidak suka aku masuk campur urusannya. Sepanjang aku bekerja di sini, inilah pertama kali dia keluar pada waktu   begitu.

Orang tua sepertinya yang ada penyakit kencing manis dan darah tinggi memang tidak enak keluar waktu begitu. Tambahan pula, tidurnya mesti cukup. Pasti dia punya hal penting untuk bergegas keluar waktu-waktu begitu. Dia hanya seorang diri bersama sebuah beg kecil berwarna hitam.

Pukul enam pagi, aku terjaga. Memang sengaja aku tidak tutup pagar rumah, manalah tahu kalau-kalau Tuk Tua pulang. Sampai pagi, keretanya masih tiada. Apatah lagi kelibat orang tua itu. Bukan tugasku untuk melaporkan hal ini kepada pihak polis. Tambahan pula, isterinya ada empat orang. Anak-anaknya juga melimpah ruah di dalam rumah. Pasti mereka lebih mengetahui apa yang berlaku.

Betul-lah Tuk Tua hilang?

Allahu Akbar!

Kebenaran: Surat dari Tuk Tua di bawah sebatang tiang.

Sengaja aku tinggalkan wasiatku di sini. Di bawah tiang seri rumah yang pasaknya langsung tidak berganjak sejak enam puluh dua tahun lalu.

Wahai isteri-isteriku,

Terima kasih atas segala keperitan yang kalian kaburkan demi aku. Aku tahu, di sebuah perairan berpuluh-puluh pantai yang muncul, tetap lautnya hanya satu. Maka, aku wasiatkan segala tanah-tanahku di seluruh negara serta yang tersembunyi gerannya di luar negara. Peliharalah segala harta ke jalan yang baik-baik, agar aku turut mendapat tempias cahayanya. Usah kalian berduka. Jagalah rumah pintu empat belas dengan penuh kasih sayang dan reda Tuhan.

Keputusan pemergianku ini bukanlah terburu-buru. Aku sudah renta. Nafsu serakahku mudah patah. Bahkan, kian umurku menghampiri garisnya, aku kian gusar tatkala memikirkan pemimpin rumahku nanti.

Maka, melalui ini, aku wasiatkan Tukang Jaga Pintu untuk meneladani isteri-isteriku seterusnya menjadi pengganti ketua rumah berpintu empat belas.

Benar, aku tahu status dirimu banduan. Itulah yang menjadi dorongan untukku memilihmu setelah meringkuk selama sepuluh tahun di dalam penjara. Kau lebih hebat mempelajari hal kehidupan melalui tembok batu dan jeriji besi. Kau lebih kenal yang mana intan, yang mana nisan.

Tiang seri ini menjadi saksi, bahawa aku takkan kembali.

Kerana aku renta.

Prolog.

Tiang seri yang tegak berpaksi sejak enam puluh dua tahun di cat semula dengan warna biru, kuning, serta jaluran putih dan merah. Di perdu tiang diserikan dengan bunga kelopak lima pelbagai warna; merah menyala, kuning istana dan putih suci.

Dan, Tukang Jaga Pintu sebagai ketua.


Pengarang :