Pegawai perubatan memeriksa seorang pesakit yang dijangkiti Covid-19 di sebuah hospital di Zouping, China pada 28 Januari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19 merebak pantas di luar China, cetus kebimbangan global

SHAH ALAM, 27 FEB: Penularan jangkitan Covid-19 di kebanyakan negara di seluruh dunia mencetuskan kebimbangan global, dengan Itali dan Iran antara negara yang cepat menyebarkan wabak.

Di sebalik Asia melaporkan ratusan kes baharu setiap hari, Brazil mengesahkan jangkitan pertama di kawasan Amerika Latin dan turut dikesan di Pakistan, Sweden, Norway, Greece, Romania dan Algeria.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang berusaha menenangkan pasaran dan masyarakat berhubung wabak itu berkata negara berkenaan “sangat sangat bersedia” menghadapi ancaman Covid-19.

Sementara itu, Datuk Bandar New York Bill de Blasio menggesa kerajaan persekutuan untuk mengetatkan ujian imbasan kepada pelawat dari pelbagai negara.

Virus yang membawa kepada radang paru-paru dipercayai berasal dari pasar yang menjual hidupan liar di bandar Wuhan pada tahun lalu menjangkiti kira-kira 80,000 orang dan membunuh lebih 2,700 orang setakat ini, majoriti di China.

Walaupun langkah radikal membantu memperlahankan penularan wabak di negara Tembok Besar itu, namun ia merebak dengan pantas di tempat lain.

Jerman, yang mempunyai kira-kira 20 kes setakat ini mengatakan mustahil untuk mengesan semua rangkaian jangkitan, memaksa Menteri Kesihatan Jens Spahn menggesa pihak berkuasa, hospital dan majikan untuk mengkaji rancangan mereka menangani wabak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata China melaporkan 412 kes baharu pada Selasa, sementara terdapat 459 kes di 37 negara lain.


Pengarang :