Adi Faizal Ahmad Tarmizi ketika ditemui di Pejabat MSN Selangor, Shah Alam pada 10 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Sukma 2020: Atlet olahraga berlatih di Kenya

SHAH ALAM, 18 FEB: Atlet olahraga Selangor dihantar ke Kenya bagi menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, Julai ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata dua atlet lelaki ke sana sejak Januari lalu bagi meningkatkan prestasi di bawah kendalian jurulatih Kenya.

“Kita hantar atlet ke Kenya bagi melihat sendiri pusat latihan olahraga dilaksanakan. Kita (MSN) bayar tiket sahaja selebihnya ditanggung jurulatih tersebut.

“Kita pilih jurulatih Kenya kerana mereka melahirkan pelari jarak jauh yang sangat bagus di samping olahraga,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama SelangorKini di Kompleks Belia Negeri Selangor, di sini 10 Februari lalu.

Antara atlet olahraga yang berlatih di Kenya adalah Berchmans Aruldass dan Jeff Lim Zhe Yu.

Sementara itu, Rhaasrikanesh Kanavathi, Muhammad Afif Mohd Fathi dan Liyana Azizan Durisic bagi sukan golf menjalani latihan di Amerika Syarikat.

Adi Faizal berkata beberapa program sukan disusun menjelang Sukma selain penyertaan atlet dalam kejohanan di luar negara seperti berbasikal, renang dan tenis.

 


Pengarang :