Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

Tiada kes pesakit dalam siasatan koronavirus di Sepang

SHAH ALAM, 5 FEB: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini menafikan wujudnya kes pesakit dalam siasatan (PUI) koronavirus 2019 di Klinik Kesihatan Salak di Sepang seperti yang tular di media sosial.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Sha’ari Ngadiman berkata semakan menunjukkan kes yang kononnya PUI 2019-nCoV didapati tidak memenuhi definisi jangkitan virus itu dan tiada kontak dengan kes positif koronavirus atau sejarah ke negara China dalam tempoh 14 hari.

“Tindakan penutupan dan dekontaminasi yang dilakukan oleh klinik kesihatan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga. Kes berkenaan telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan yang disebabkan oleh penyakit lain, bukannya PUI 2019-nCoV.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak risau dengan apa yang berlaku di klinik kesihatan berkenaan. Pegawai berkaitan juga telah dimaklumkan supaya mematuhi prosedur operasi standard dalam semua tindakan yang diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Sha’ari berkata JKNS memohon maaf atas segala kesulitan akibat penutupan sementara klinik kesihatan tersebut namun ia telah beroperasi semula seperti biasa.

– BERNAMA


Pengarang :