Selangorkini
EXCO SELANGOR

EXCO: Dana tambahan program atlet bergantung tarikh baru Sukma

SHAH ALAM, 28 MAC: Selangor menjangka peruntukan tambahan diperlukan bagi program latihan atlet Sukan Malaysia (Sukma) susulan penangguhan kejohanan dwitahunan itu, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata jumlah itu masih dalam penilaian dan ia bergantung kepada pengumuman tarikh baharu penganjuran Sukma.

“Cuma kita minta atlet kekal fokus serta bersedia untuk beraksi pada bila-bila masa dan yang paling penting sasaran Selangor untuk muncul negeri terbaik akan tercapai,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Kerajaan Negeri sebelum ini meluluskan peruntukan RM3.1 juta bagi persiapan atlet dan elaun jurulatih sepenuh dan separuh masa buat Sukma 2020.

Pada 25 Mac lalu Jawatankuasa Tertinggi Sukma sebulat suara bersetuju menangguhkan Sukma Johor 2020 ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sukma 2020 sebelum ini ditetapkan pada 11 hingga 19 Julai manakala Para Sukma dijadualkan pada 16 hingga 22 Ogos.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada temasya Sukma 2020.


Pengarang :