Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di Shah Alam pada 5 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor mahu hubungan profesional dengan Persekutuan

SHAH ALAM, 5 MAC: Hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan diharap terjalin secara profesional tanpa menekan atau membuli seperti era Barisan Nasional (BN), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Pakatan Harapan (Pakatan) di Selangor dipilih secara sah dengan majoriti besar, sekali gus tidak wujud istilah kerajaan pembangkang.

“Majoriti kita 43-13, kita sebenarnya 2/3 majoriti. Tiada istilah kerajaan pembangkang, kerajaan pusat, kerajaan tepi, hujung atau kerajaan tengah,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Beliau berkata pentadbiran Pakatan di peringkat Persekutuan selama 22 bulan tidak meminggirkan mana-mana negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Justeru, Amirudin berharap polisi itu diteruskan oleh kepimpinan baharu Persekutuan.

“Saya berharap kerajaan baharu tidak mengulangi kerakusan pimpinan BN yang selalu memberikan tekanan dan tindakan keras serta tidak bertanggungjawab,” katanya.


Pengarang :