AGENDANASIONAL

RM2 juta ibarat `duit poket’ saya – Ku Nan

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini wang RM2 juta ibarat ‘duit poket’ baginya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata demikian dalam prosiding pembelaannya bagi tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2 juta, ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim sama ada RM2 juta yang diberi oleh ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong dianggap bernilai kepadanya.

Julia: Adakah RM2 juta bernilai bagi anda?

Tengku Adnan: “Tidak…RM2 juta umpama duit poket saya.

Julia: Tetapi ia boleh menjadi sesuatu yang berharga kepada seseorang?

Tengku Adnan: Saya tidak tahu.

Tengku Adnan yang juga bendahari agung UMNO tidak bersetuju bahawa beliau perlu mengisytiharkan RM2 juta kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang termaktub di bawah kod etika untuk ahli pentadbiran.

“Ia bukan pemberian untuk saya atau sesiapa. Ia adalah sumbangan politik. Kenapa saya perlu lapor kepada perdana menteri,” katanya.

Ditanya oleh Julia sama ada beliau ada memaklumkan kepada Majlis Tertinggi UMNO atau presiden UMNO pada masa itu (Najib), mengenai RM2 juta yang diterima daripada Chai, Tengku Adnan berkata wang itu tiada kaitan dengan Ibu Pejabat UMNO (HQ).

“Saya adalah bekas pengerusi perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, kadang-kadang saya gunakan wang sendiri dan saya boleh minta orang ramai untuk memberikan sumbangan. Bukan hanya Tan Sri Chai,” katanya.

Julia: Saya katakan kepada anda bahawa RM2 juta itu adalah bagi kegunaan anda sendiri.

Tengku Adnan: Tidak setuju…saya perlukan wang itu hanya untuk pilihan raya. Saya tidak pernah meminta apa-apa sumbangan daripada HQ.

Pada 14 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai, 61.

Ia didakwa dilakukan melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 25 Mac ini.

– BERNAMA


Pengarang :