Petugas KKM melakukan pemeriksaan serta ujian saringan Covid-19 bagi setiap penghuni Flat Selangor Mansion di Kuala Lumpur pada 6 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

 23 pakar perubatan antara 325 petugas KKM dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seramai 325 petugasnya dijangkiti Covid-19 setakat ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan itu bukan berpunca daripada petugas terbabit mengendalikan pesakit Covid-19 di fasiliti kesihatan KKM.

Beliau berkata, 70 peratus daripada jangkitan membabitkan petugas KKM berpunca daripada aktiviti kakitangan itu sendiri seperti menghadiri majlis keraian dan ada juga yang pergi ke luar negara.

“Daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 membabitkan petugas KKM, sebanyak 185 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital manakala 137 sedang dirawat serta tiga kes meninggal dunia.

“Kes-kes ini terdiri daripada 77 pegawai perubatan; jururawat (66), pegawai perubatan siswazah (34), pakar perubatan (23), 21 penolong pegawai perubatan (21) dan lain-lain skim perkhidmatan (104),” kata beliau pada sidang akhbar harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham menasihatkan semua kakitangan kesihatan mengamalkan langkah pencegahan terutama ketika mengendalikan wabak pandemik itu.

Jelasnya, petugas perlu memastikan tangan masing-masing sentiasa bersih, elak berada di kawasan sesak dan kawasan tertutup secara beramai-ramai, amalkan penjarakan sosial serta memastikan kawasan kerap disentuh bebas kuman.

“Selain itu, anda diminta menggunakan alat perlindungan diri mengikut keperluan terutama memakai penutup hidung dan mulut serta memakai sut yang bersesuaian apabila melaksanakan prosedur klinikal,” katanya.


Pengarang :