Bazar Ramadan PKNS, Shah Alam
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bakal umum sistem e-bazar dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 8 APRIL: Dato’ Menteri Besar akan mengumumkan pelaksanaan sistem e-bazar dengan kerjasama syarikat tertentu dalam masa terdekat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan dengan syarikat pengendali e-panggilan sudah dibuat bagi memudahkan pelaksanaan itu susulan pembatalan bazar secara fizikal berikutan penularan Covid-19.

“Kita sedang perhalusi perkara ini termasuk kemahiran ekonomi serta beberapa peraturan termasuk tukang masak dan ini akan diuruskan pihak berkuasa tempatan.

“Ikut rekod tahun lepas 15,600 penjaja terbabit dengan bazar Ramadan dan bazar Raya. Sekiranya e-bazar tidak dilaksanakan, ia memberi kesan besar,” katanya ketika temu ramah bersama Bernama Radio melalui panggilan video hari ini.

Jelas Amirudin lagi, sistem e-bazar akan dibuat secara sistematik dan jitu bagi mengelakkan masalah timbul serta semua pihak puas hati walaupun melibatkan harga.

“Kita tak mahu ada orang ambil kesempatan. Makanan tak sedap, tak berkualiti dan sampai lewat hingga lepas tarawih.

“E-bazar di Selangor mungkin akan menggunakan perkhidmatan Foodpanda, GrabFood dan Bungkusit bagi mudahkan urusan,” katanya.

Pada 1 April lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri membatalkan bazar Ramadan di seluruh negeri tahun ini susulan wabak Covid-19.


Pengarang :