Hee Loy Sian meninjau kerja pembersihan di lokasi pencemaran oleh petugas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak di KM 389.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala Kuala Lumpur pada 29 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO cadang bina kolam takungan kecil di setiap anak sungai

SHAH ALAM, 29 MEI: Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan kolam takungan kecil di setiap anak sungai berhampiran lebuh raya baharu pada masa akan datang.

EXCO Alam Sekitar, Lee Loy Sian berkata tindakan itu bertujuan mengelak pencemaran sumber air mentah seperti yang terjadi di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek di Hulu Selangor sehingga terpaksa dihenti tugas.

“Berikutan insiden kemalangan lori tangki minyak diesel di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) sehingga mengakibatkan pencemaran sungai, Kerajaan Negeri bercadang membina kolam takungan kecil.

“Pembinaan kolam ini akan dilakukan di setiap anak sungai berhampiran lebuh raya baharu dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas) Selangor,” katanya selepas lawatan ke kawasan pencemaran sungai dan henti tugas LRA Sungai Selisek pagi tadi.

LRA Sungai Selisek yang dihenti tugas berikutan pencemaran diesel pada sumber air mentahnya kembali beroperasi pada 2 petang tadi.

Lapan kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual mula mendapat bekalan bermula 4 petang ini dan dijangka pulih sepenuhnya pada 12.30 tengah malam nanti.

Pencemaran itu berpunca daripada kemalangan yang melibatkan lori tangki diesel dan van keselamatan di Kilometer 389.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) berhampiran Behrang menyebabkan tumpahan diesel mengalir ke Sungai Siah.


Pengarang :