AGENSISELANGOR

Polis Selangor lulus 21,956 permohonan rentas negeri

SHAH ALAM, 18 MEI: Polis Selangor meluluskan 21,956 daripada 24,188 permohonan orang awam untuk merentas negeri sejak 6 Mei hingga semalam, kata jurucakap khas Op Covid-19.

Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata dalam tempoh sama pihaknya juga mengarahkan 377 kenderaan berpatah balik kerana tidak mempunyai kebenaran merentas negeri, lapor Harian Metro.

“Untuk sempadan negeri, kita melakukan sekatan jalan raya di empat daerah iaitu Kajang, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Sepang manakala di plaza tol pula membabitkan tujuh daerah dengan 10 sekatan.

“Untuk sekatan jalan raya di plaza tol, sebanyak 11,767 kenderaan diperiksa dan 270 diarahkan patah balik. Sekatan di sempadan negeri pula sebanyak 5,849 kenderaan diperiksa dan 107 diarahkan berpatah balik kerana tidak mempunyai permit rentas negeri,” kata beliau.

Muhammad Yazid berkata, kebanyakan pemohon memberi alasan merentas negeri kerana mahu pulang melawat keluarga pada hari raya.

Sehingga kini, polis belum menahan mana-mana individu kerana mereka yang diarah berpatah balik masih mengikut arahan.


Pengarang :