Nickelodeon Lost Lagoon antara tarikan di Sunway Lagoon, Subang Jaya (gambar hiasan). Foto Sunway Lagoon
AGENDANASIONAL

KKM: Kerap cuci kolam, hadkan bilangan pengunjung

SHAH ALAM, 29 JUN: Pengusaha taman tema air perlu kerap membersihkan kolam selepas dibenarkan beroperasi semula Rabu ini, saran ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut menyarankan jumlah pengunjung dihadkan bagi mengelakkan kesesakan sekali gus mencegah jangkitan wabak.

“Kebimbangan Kementerian Kesihatan ialah isu kesesakan, justeru pengusaha perlu hadkan jumlah pengunjung dan tidak buka 100 peratus.

“Kita juga nasihatkan pengunjung dan pengusaha taman tema mengambil langkah pencegahan dan paling penting jaga jarak,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebanyak 54 taman tema termasuk taman tema air dibenarkan beroperasi semula mulai 1 Julai selepas ditutup lebih tiga bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah Covid-19.

Pengusaha perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyelenggaraan Kolam Renang Awam pihak berkuasa tempatan dan Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.


Pengarang :