SELANGOR

MB ajak rakyat bersama jaga kebersihan pantai, laut

SHAH ALAM, 9 JUN: Dato’ Menteri Besar mengajak rakyat bersama-sama menjaga kebersihan pantai di sekitar negeri ini dan perangi eksploitasi laut berlebihan.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Lautan Sedunia buat organisasi dan komuniti di Malaysia terutamanya Selangor yang sentiasa peka serta prihatin dengan khazanah alam.

“Lautan meliputi 71 peratus permukaan bumi dan merupakan sumber kehidupan buat pelbagai makhluk.

“Bersamalah kita menjaga kebersihan pantai dan lautan di sekitar Selangor dan perangi eksploitasi laut berlebihan kerana lambat laun ia akan menjejaskan hidup kita semua,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Hari Lautan Sedunia disambut pada 8 Jun setiap tahun untuk mendedahkan masyarakat tentang kepentingan laut serta sumbangan laut kepada kehidupan seharian.

Tema Hari Lautan Sedunia pada tahun ini adalah ‘Inovasi Untuk Kelestarian Lautan’.


Pengarang :