EXCO Kerajaan Negeri, Mohd Khairuddin Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor bincang garis panduan karnival kerjaya dengan MKN

SHAH ALAM, 16 JUN: Selangor akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung garis panduan penganjuran Karnival Padanan Kerjaya (Job Matching Fair).

EXCO pembangunan generasi muda berkata program yang dianjurkan di seluruh negeri dijangka diumumkan pelaksanaannya selepas mendapat kelulusan MKN.

“Ini (karnival) adalah antara usaha Kerajaan Negeri mengatasi isu pengangguran selepas banyak sektor perniagaan terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini hari ini.

Katanya, kerjasama turut dijalankan dengan Giat Mara serta beberapa agensi kerajaan dan swasta untuk memberi latihan bersesuaian bagi mengisi ruang pekerjaan.

Selangor menyasarkan kadar pengangguran di negeri ini pada kadar 2.5 peratus berbanding 2.8 peratus pada 2017 hingga 2019.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan kadar pengangguran negara meningkat 48.8 peratus kepada 778,800 orang setakat April lalu.

Angka tersebut menjadikan kadar pengangguran negara berada pada tahap 5.0 peratus, tertinggi sejak 1989 kesan penutupan sebahagian besar perniagaan sepanjang PKP.


Pengarang :