Dato’ Seri Amirudin Shari melihat proses lembu yang ditimbang sebelum diagihkan sebagai lembu korban di Ladang HMA Kasturi Sdn Bhd, Rawang pada 19 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGAMABERITA UTAMASELANGOR

GLC sumbang 900 lembu korban

RAWANG, 19 JULAI: Lapan anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) menyumbang 900 ekor lembu yang akan diagihkan kepada 425 masjid sempena Hari Raya Aidiladha.

Sumbangan berjumlah RM4.743 juta diserahkan wakil GLC kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sambil disaksikan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim.

Amirudin berkata jumlah lembu kali ini berkurangan berbanding 1,200 ekor kerana kekangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan titah DYMM Sultan Selangor.

“Tahun ini kita berikan kepada semua masjid di seluruh negeri, pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

“Aktiviti korban tidak dilangsungkan di surau Jumaat berbanding tahun sebelumnya maka jumlah lembu berkurangan,” katanya ketika sidang media di Ladang HMA Kasturi hari ini.

Beliau berkata semua lembu diuruskan 30 pembekal dilantik dan dihantar ke masjid beberapa hari sebelum Aidiladha.

Sebelum ini Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan supaya aktiviti korban dibuat di masjid sahaja dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.


Pengarang :