Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 1 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KP Kesihatan: Kuching, Sarawak diisytihar zon merah

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kluster Sentosa di Kuching, Sarawak menyaksikan peningkatan empat lagi individu positif Covid-19 hari ini menjadikan keseluruhan 20 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata susulan itu Hospital Sentosa ditutup kepada orang awam dan semua kakitangan dikuarantin di dalam bangunan tersebut.

“Pengesanan kontak rapat juga telah dan sedang dijalankan. Seramai 677 individu disaring dan diuji (manakala) 657 masih menunggu keputusan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan daerah itu kembali memasuki zon merah dengan mencatat keseluruhan 41 kes.

Pada 21 Julai lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kluster Sentosa dikesan di sebuah hospital di Kuching, Sarawak dengan kes pertama membabitkan kes ke-8,773 iaitu seorang petugas kesihatan yang mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai sebelum dikesan positif Covid-19 pada 19 Julai.

Hari ini, Malaysia mencatatkan 23 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kes 8,884 semuanya.

Enam daripada kes baharu yang dilaporkan mendapat jangkitan dari luar negara dan bakinya penularan tempatan.


Pengarang :