Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam 2035 di Setia City Convention Centre, Setia Alam pada 27 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor rangka pelan masa depan putuskan rantaian Covid-19

SETIA ALAM, 27 JULAI: Kerajaan Negeri memutuskan rancangan pencegahan pandemik Covid-19 di Selangor pada masa hadapan akan dibuat selepas sambutan Aidiladha.

Dato’ Menteri Besar berkata susulan peningkatan semula jangkitan berkenaan pihaknya akan bertemu Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) serta Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi melihat pelan dan perancangan terkini perkara itu.

“Dari awal dah sebut. Ini (masalah) jangka panjang dan tak ada penamat sehingga vaksin ditemui. Hanya dua langkah berkesan pertama kawalan dengan mengamalkan SOP (tatacara operasi piawai) dan kedua pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Kerajaan Negeri bersiap sedia sekiranya PKP dilaksanakan semula kerana ia langkah tepat memutuskan rantaian Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari melawat ruang pameran bersama Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim dan EXCO Kerajaan Negeri, Ng Sze Han pada majlis Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam 2035 di Setia City Convention Centre, Setia Alam pada 27 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak patuh SOP kerana pantauan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak dapat dilakukan setiap masa ekoran kekurangan kakitangan.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan semula pelaksanaan PKP sekiranya kes Covid-19 kembali mencecah tiga angka.


Pengarang :