Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua, kanan) menyaksikan Pertukaran Memorandum Perjanjian (MOU) Pengkomersialan Teknologi antara Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohd Roff Mohd Noor (kanan) dengan Pengurus Pekembangan Perniagaan Ahsannajah Solution Kamaruzzaman Saujud (tengah) pada Majlis Sesi Uji Rasa Media Bersama Mardi dan Majlis Pelancaran Empat Produk Inovasi Makanan Hasil Penyelidikan Mardi di Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan Ibu Pejabat Mardi hari ini. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Zainal Azman Abu Seman (dua, kiri). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mardi lancar empat produk inovasi makanan

SERDANG, 27 OGOS: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan empat produk inovasi makanan termasuk keropok lekor yang mampu kekal lembut dan rangup biarpun sudah sejuk selepas beberapa jam digoreng.

Tiga lagi produk yang dilancarkan Mardi hari ini ialah pracampuran tepung perata tanpa gluten dari ubi kayu dan bayam; pemanis mulut bebas laktosa dari ubi keledek ungu bersama santan sawit; dan sup ikan talapia merah dengan cendawan yang tinggi protin.

Pegawai penyelidik kanan Mardi, Nor Salasiah Mohamed berkata teknologi inovasi keropok lekor sejuk beku berkenaan yang bernilai RM20,000 dihasilkan Mardi melalui penyelidikan selama dua tahun.

“Selain rasa ikan yang lebih ketara, teknologi inovasi keropok lekor Mardi turut mengatasi masalah keropok lekor yang keras dan liat apabila sejuk,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran itu.

Setakat ini, Salasiah berkata, dua pengusaha keropok lekor iaitu Rara Lekor, dan KLOG atau Keropok Lekor Orang Ganu sudah membeli teknologi inovasi keropok lekor Mardi itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah yang melancarkan keempat-empat produk itu di Mardi di sini berkata penyelidikan yang dijalankan Mardi akan membolehkan usahawan tempatan meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

“Mardi telah banyak hasilkan penemuan yang berjaya. Usahawan perlu bekerjasama dengan Mardi dalam menghasilkan penemuan baharu dalam penyelidikan makanan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :