Jemaah yang mendapat kebenaran khas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang mendengar khutbah pada 19 Jun 2020. Foto Ihsan Masjid Jamek Ar Rahimiah
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais: SOP solat jemaah, nikah kekal hingga hujung tahun

SHAH ALAM, 1 SEPT: Tatacara operasi piawai (SOP) solat jemaah dan Jumaat di Selangor dikekalkan susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata pentadbir masjid dan surau perlu memastikan arahan tersebut dipatuhi sesuai dengan norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19.

“SOP masjid dan surau buat masa ini diteruskan kerana ia dianggap sebagai norma baharu,” kata Mohd Shahzihan Ahmad ringkas ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan SOP bagi majlis akad nikah turut dikekalkan dengan kehadiran tidak lebih 15 orang di masjid tertentu atau pejabat agama Islam daerah.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebelum ini berkenan membenarkan tambahan jemaah mengikut kapasiti ruang masjid dan surau dengan jarak fizikal 1.5 meter.

Jais dalam kenyataan terbaharu turut menetapkan jemaah perlu membawa sejadah dari rumah dan melarang kehadiran warga asing tidak dikenali.


Pengarang :