Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (KJSJN) Bil 3/2020 pada 26 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tidak kompromi anggota langgar peraturan, terlibat rasuah

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu berhubung kait dengan rasuah atau pelanggaran undang-undang melibatkan warga pasukan keselamatan itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata ketika ini, PDRM berdepan dengan persepsi negatif di mata masyarakat akibat tangkapan demi tangkapan yang dilakukan terhadap anggota polis atas kesalahan jenayah rasuah.

“Disebabkan segelintir pasukan yang tidak bermaruah dan mementingkan diri maka keseluruhan warga PDRM dicaci serta dituduh oleh masyarakat, ia ibaratkan ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.

“Tindakan penamatan perkhidmatan akan diambil ke atas mereka terlibat dalam rasuah serta salah laku serius yang berulang,” katanya ketika merasmikan majlis Pelancaran Buku Pelan AntiRasuah PDRM di Bukit Aman, disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM hari ini.

Abdul Hamid berkata pembangunan Pelan Antirasuah PDRM yang menetapkan enam bidang keutamaan, adalah bukti komitmen pasukan keselamatan itu dalam menghapuskan gejala rasuah dan mengamalkan ketelusan.

“Perkara yang diberikan tumpuan adalah tadbir urus organisasi dan sumber manusia; risikan dan keselamatan; risikan dan penguatkuasaan undang-undang; siasatan dan pendakwaan; ketenteraman awam, serta pengurusan kewangan dan perolehan PDRM,” katanya.

Abdul Hamid yakin pelan anti rasuah itu dapat membentuk satu hala tuju ke arah menetapkan PDRM atas landasan yang betul dan menjadi panduan untuk seluruh warga polis untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara.

Katanya beliau berharap usaha itu dapat memulihkan imej polis dan mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti pihak polis sebagai agensi penguatkuasa utama negara.

Semalam, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya dilapor berkata Pelan Tindakan AntiRasuah PDRM adalah sebagai usaha menangani gejala rasuah dalam kalangan warga pasukan keselamatan itu dengan lebih tegas.

Pelan berkenaan akan menjadi rangka tindakan kepada pasukan itu dalam memerangi gejala rasuah bagi tempoh empat tahun sehingga 2024.

-BERNAMA


Pengarang :