Perbadanan Adat dan Warisan Melayu Selangor menganjurkan Bengkel Jahit Kebaya Selangor pada 2012 bertujuan mempromosi kebaya tradisional sekali gus mengekalkan identiti budaya Selangor dengan memilih 15 penjahit dari negeri ini. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANAWAWANCARA

Kebaya busana rentas zaman

Asalnya busana golongan bangsawan, kebaya dianggap pakaian tradisional kebanyakan orang Melayu sekitar abad ke-19.

Malah, ia dipercayai lahir melalui asimilasi antara Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, Selangor, Perak, Bugis dan Kedah.

Sehingga kini, meski peredaran fesyen moden menguasai pasaran pakaian, kebaya kekal sebagai antara pilihan pada waktu atau majlis tertentu.

Mengikut kamus Arab-Melayu, kebaya hampir sama ertinya dengan kabah, akbia, akbiayatun yang bererti pakaian sebelah luar pakaian. Demikian mengikut Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail yang banyak membuat kajian mengenai pakaian Melayu.

Pengkaji budaya Azah Aziz pula menyebut ia berasal daripada perkataan habaya, baju labuh yang berbelah di depan.

Mengikut Rohayu Mohd Yunus dari Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat), kebaya dikatakan menyerupai pakaian orang Islam di Asia Selatan dan Timur Tengah. Ia juga mirip kimono Jepun dahulu kala.

Mengikut kertas kerja bertajuk Kebaya Selangor: Busana Tradisional Warisan Negeri, beliau menyebut pakaian itu popular di Malaysia, bahkan ada pelbagai jenis rekaan dan potongan mengikut budaya negeri, sama ada jenis labuh atau pendek.

Kebaya labuh direka hingga paras buku lali dan sering dipakai dalam acara rasmi manakala kebaya pendek potongannya ringkas dan di bawah pinggul.

Namun, peralihan zaman sedikit sebanyak mengubah rekaannya. Kebaya labuh kini disingkat ke paras lutut manakala bahagian pinggang kebaya pendek diletak dat atau lisu bagi menonjolkan kelangsingan pemakai. Ia turut dihiasi sulaman flora dan fauna.

Kebaya Selangor

Selangor juga memiliki kebaya yang menggambarkan identiti negeri dan dipanggil Kebaya Selangor. Ia dipercayai lahir daripada gabungan antara Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, Selangor, Perak, Bugis dan Kedah.

Namun, gambaran Kebaya Selangor kurang diketengah dalam naskhah Melayu. Namun, beberapa catatan penulis Barat pada awal abad ke-19 ada memperihalkannya.

Penulis Barat, Emily Innes ada menyebut ciri pakaian wanita Selangor dalam bukunya The Chersonese With The Gilding Off iaitu berkebaya labuh, longgar dan tidak berbentuk.

Isabella Bird pula menceritakan pertemuannya dengan kerabat diraja Selangor yang menyarung kebaya hijau, berselendang dan memakai perhiasan lewat bukunya The Golden Chersonese and The Way Thither, kisah pengembaraannya ke Langat pada 1883.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan wanita yang ditemuinya adalah Che Klang iaitu isteri Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sir Abdul Samad. Bukti itu diperkukuh dengan penemuan koleksi busana kerabat diraja Selangor antaranya kebaya labuh milik Tengku Suri Zaharah, puteri DYMM Sultan Alaeddin Suleiman Shah yang lahir pada 1899.

Selain itu, Muzium Seni Asia Kuala Lumpur juga menyimpan kebaya labuh telepuk milik DYMM Tengku Ampuan Zabedah, anakanda Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Muhtaram Shah yang mangkat pada 17 Oktober 1918.

DYMM Tengku Ampuan Rahimah dilihat menggayakan kebaya labuh melepasi paras lutut atau dipanggil kebaya sekerat tiang. Gaya pemakaian itu kemudian menjadi ikutan ramai sekitar 1960-an.

Ciri-ciri

Pemakaian Kebaya Selangor kekal menjadi pilihan hingga kini. Rekaan kebaya labuh melepasi lutut, berpesak empat di hadapan, longgar, berkekek dipakai secara selisih, dilipat sedikit di bahagian leher dan lurus di hujung baju.

Kebaya itu sering disemat tiga kerongsang sama jenis atau dua kerongsang sama besar dan satu ibu kerongsang berbentuk hati atau bujur sirih di sebelah atas dengan kerongsang ketiga di paras pusat.

Ia juga boleh dipadan dengan kain songket, tenun bugis atau kain batik mengikut status pemakai dengan kedudukan kepala kain terletak di bahagian hadapan.

Memang ada perbezaan material fabrik yang digunakan rakyat berbanding kerabat diraja iaitu kain kapas yang dipadan dengan kain batik atau tenun bugis. Material jenis songket pula hanya dipakai pasangan pengantin.

Kebaya Selangor juga boleh dihiasi dengan rantai cucuk sanggul, rantai leher labuh, anting-anting, gelang tangan, gelang kaki, cincin atau perhiasan lain. Raja sehari pula akan dipakai perhiasan lengkap bagi menggayakannya.

Bagi mempromosi pakaian tradisional yang ikonik, Perbadanan Adat dan Warisan Melayu Selangor ada menganjurkan Bengkel Jahit Kebaya Selangor pada 2012 bertujuan mempromosi kebaya tradisional sekali gus mengekalkan identiti budaya Selangor dengan memilih 15 penjahit dari negeri ini.

Mereka diajar mengenai sejarah pakaian, jenis potongan dan teknik menjahit dari awal hingga akhir untuk dikongsi kepada orang ramai, seterusnya memastikan pemakaian kebaya tidak lapuk dek zaman.

 


Pengarang :