BUDAYARENCANA

Silat pencak kung fu

Oleh Afix Redzuan
Foto Fikri Yusof

Gayang Lima guna ‘orang kayu’, tekpi

TIDAK seperti kebanyakan perguruan silat, Gayang Lima tidak ada langkah “tarian” atau “bunga”. Sebaliknya, jurus seni bela diri itu langsung kepada buah pukul. Pendek kata, serang terus.

Seimbas, ketangkasannya mirip aksi kung fu Wing Chun yang boleh disaksikan dalam Ip Man, filem yang popular dalam kalangan masyarakat Cina mahupun Melayu di negara ini.

‘Orang kayu’ yang menjadi peralatan latihan Ip Man lakonan Donnie Yen Ji-dan juga antara peralatan yang sesuai dalam mempelajari silat Gayang Lima.

Malah, keris yang sinonim dalam kebanyakan silat tidak diajarkan umum walau senjata tikam itu tidak pula dilarang penggunaannya. Sebaliknya, tekpi – berasal dari China – menjadi senjata utama.

Dr Tengku Musa Abdul Jalil, Gayang
Lima bererti alunan badan lima gerakan iaitu hadapan,
belakang, kiri, kanan dan bawah. Dua tangan, dua siku,
dua lutut dan dua kaki dianggap lapan senjata.

Sememangnya, Gayang Lima, turut dikenali sebagai Silat Lian, berasal dari Yunnan, wilayah di selatan China. Ia dibawa pedagang keturunan Arab-China ke Tanah Melayu pada hujung kurun ke-18.

Namun, silat yang turut dikenali sebagai Lian Paduka, Buah Pukul Mersing dan beberapa nama lain, tebal dengan pengaruh Islam lantaran pengasasnya juga seorang pendakwah.

12 Lian

Mengikut Dr Tengku Musa Abdul Jalil, Gayang Lima bererti alunan badan lima gerakan iaitu hadapan, belakang, kiri, kanan dan bawah. Dua tangan, dua siku, dua lutut dan dua kaki dianggap lapan senjata.

“Sebelah tangan bertindak sebagai senjata dan satu lagi perisai,” katanya yang membuka gelanggang silat itu di Taman Desa Keramat, Hulu Kelang, Gombak sekitar 2009.

Dipanggil Cikgu dalam kalangan anak murid yang kebanyakan berusia pertengahan 20-an, beliau menjelaskan ada 12 lian dalam silat itu. Kebanyakan anak muridnya tamat perguruan selepas dua tahun.

Antara peralatan latihan yang penting ialah ‘orang kayu’. Bentuknya mewakili bahagian badan, tangan dan kaki, peralatan itu berfungsi menguatkan anggota lapan sebagai ‘senjata’. Ia juga sentiasa ditempatkan di gelanggang.

“Apabila kita guna Lian terhadap orang kayu, kita menghidupkan semua senjata (anggota lapan). Orang kayu dipukul dengan tenaga yang menerbitkan kekerasan dan terasa sakit seperti keadaan sebenar,” katanya.

Gayang Lima turut menggunakan beberapa senjata antaranya tembung, pisau belati dan selengan tetapi tekpi senjata utama. Kepentingan tekpi ketara dalam lian kesepuluh Gayang Lima.

“Lian boleh dikatakan sebagai raja buah pukul, tekpi pula sebagai raja senjata ampuh kerana diperbuat daripada besi,” katanya.

Senjata itu juga ditonjolkan dalam filem Enam Jahanam karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Asal usul

Gayang Lima dibawa Syeikh Abdul Rahman al-Yunani, anak didik pengasas silat berkenaan iaitu Saidina Samaon al-Radzi yang berasal dari Yunnan ke Johor.

Mengikut Dr Tengku Musa yang juga berguru dengan bapa mentuanya sekitar tahun 80-an, kehebatan Syeikh Abdul Rahman berpencak menewaskan beberapa pendekar menjadi buah mulut orang, malah sampai ke pengetahuan istana.

Orang kanan istana iaitu Awang Ali Cik atau Awang Daik dan rakannya Mohd Yassin Yunus atau Pak Long Mat Yassin berguru dengan Syeikh Abdul Rahman sebelum mengembangkan silat itu di Mersing, Johor.

Sejak itu, Gayang Lima tersebar ke serata tempat termasuk Pantai Timur.

 

 

 


Pengarang :