Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri (tengah) bersama 12 peserta kumpulan pertama yang berjaya mengikuti kursus kemahiran perantis tukang paip pada 12 Mac 2021. Foto Air Selangor
AGENSISELANGOR

12 peserta sertai kursus perantis tukang paip Air Selangor

SHAH ALAM, 13 MAC: Seramai 12 peserta kumpulan pertama selesai menjalani kursus kemahiran perantis tukang paip anjuran Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata kesemua peserta dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengikuti kursus di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sesama Mara selama lima hari sejak 8 Mac lalu .

“Peserta berjaya melengkapkan 25 peratus pembelajaran secara teori dan 75 peratus praktikal sepanjang tempoh berkenaan.

“Mereka menerima sijil pencapaian Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan kad hijau daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta kotak alat perkakasan bagi menjalankan tugas,” katan Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata kursus dilancarkan pada Ogos tahun lalu sebagai usaha membuka peluang kerjaya baharu seterusnya menjana pendapatan dalam bidang perkhidmatan dan pembaikan utiliti air.

“Inisiatif ini diharap membantu individu memerlukan dan menyuntik semangat komuniti akar umbi untuk terus maju ke hadapan terutama dalam waktu mencabar semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Individu berminat boleh mendaftar dengan memuat turun borang di laman sesawang www.airselangor.com/about-us/sesama-mara dan salinan borang fizikal juga boleh didapati di 10 kaunter perkhidmatan pelanggan Air Selangor.


Pengarang :