Tengku Amir Shah (tengah) bersama pelajar Pusat Jagaan Kanak-kanak Rukaiyah Yatim dan Miskin, Kajang sempena Program “Sunway Brings Festive Cheer To Children” pada 28 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda serah makanan, duit raya kepada anak yatim

KAJANG, 28 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada Pusat Jagaan Kanak-kanak Yatim dan Miskin Anak Yatim Rukaiyah, Sungai Merab hari ini.

Antara yang disumbangkan Tengku Amir Shah adalah barang makanan, biskut raya, pelitup muka dan komputer riba manakala 33 penghuninya menerima duit serta baju raya.

Baginda turut berkenan meluangkan masa meninjau pusat jagaan itu selain beramah mesra bersama penghuni serta kakitangannya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Komuniti Belia Selangor (SAY) berkata sumbangan terbabit menerusi program Sunway Raya Cheer yang dijalin bersama Sunway Group.

Nurul Azwa Mohd Rodzi berkata kerjasama memasuki tahun ke empat itu membabitkan 190 anak yatim dari empat rumah kebajikan dengan peruntukan hampir RM28,000.

“Selain rumah kebajikan ini, sumbangan turut diberi kepada Persatuan Kebajikan dan Perlindungan Rumah Jalinan Kasih di Cheras serta Pusat Jagaan Darul Sakinah Angkasa dan rumah anak yatim bukan Islam, Shelter Home For Children di Petaling Jaya.

“Tahun ini serahan agak berbeza kerana pandemik Covid-19. Selalunya kita bawa anak-anak ini membeli baju raya tetapi kali ini kita beli dan hantar kepada mereka,” katanya.


Pengarang :