Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna MBSA U5, Shah Alam pada 27 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Kerani naik motor redah hujan lebat 10km jalani saringan percuma

SHAH ALAM, 27 MEI: Hujan lebat tidak menghalang seorang kerani menunggang motosikal sejauh 10 kilometer untuk membuat saringan percuma di Dewan Serbaguna MBSA U5 di sini.

Mohd Fadzil Abdul Rani, 48, terpaksa berbuat demikian kerana enggan terlepas tempahan slot janji temu melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) pada jam 3 petang.

Dia bertolak dari tempat kerja di Glenmarie kira-kira jam 1.45 petang selepas diberi pelepasan oleh majikan sebelum tiba 30 minit kemudian di lokasi saringan dalam keadaan basah kuyup.

Mohd Fadzil Abdul Rani

“Sebelum bertolak saya lihat cuaca elok sahaja, tak sangka pula di pertengahan jalan hujan lebat. Disebabkan mahu kejar masa, saya redah juga namun tidak mengapa asalkan saya sempat buat saringan.

“Jika diikutkan saya tidak mahu disaring tetapi ini atas arahan majikan memandangkan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan rakan sekerja walaupun saya bukan kontak rapat,” katanya.

Seorang lagi peserta Nor Syuhada Kamaruzaman sanggup beratur panjang dalam keadaan hujan demi mendapat perkhidmatan percuma yang ditawarkan Kerajaan Selangor.

Suri rumah berusia 40 tahun itu menjelaskan tidak perlu menunggu lama untuk ujian calitan kerana prosesnya mudah dan pantas.

Nor Syuhada Kamaruzaman

“Saya datang buat saringan bersama suami kerana risau ada apa-apa yang tidak diingini, lebih-lebih lagi dia (suami) bekerja sebagai pemandu peribadi dan kerap berulang-alik dari satu tempat ke satu tempat,” katanya yang menetap di Cheras.

Seramai 7,400 individu membuat tempahan awal bagi program saringan percuma Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan Kota Damansara.

Pendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) tidak termasuk anggaran 500 hingga 1,000 individu yang hadir terus di lokasi ujian.

 


Pengarang :