Selangorkini
Aksi pemain badminton beregu wanita negara Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean (kanan) pada perlawanan peringkat kumpulan A pada Kejohanan Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza pada 27 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Olimpik 2020: Mei Kuan-Meng Yean bawa pulang satu kemenangan di Tokyo

TOKYO, 27 JULAI: Beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean meraih kemenangan tunggal pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas mengatasi pasangan Great Britain dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Plaza Sukan Musashino Forest, Tokyo, pagi ini.

Mei Kuan-Meng Yean yang menghuni ranking ke-11 dunia dan merupakan wakil tunggal negara dalam acara itu, tidak berdepan masalah menundukkan gandingan Chloe Birch-Lauren Smith 21-19, 21-16 dalam tempoh masa 44 minit.

Bagaimanapun, kejayaan menundukkan pasangan di ranking ke-14 dunia itu hanya melebarkan rekod kemenangan mereka musim ini kepada 10 perlawanan sementara peluang melangkah ke pusingan suku akhir di Tokyo tetap terkubur selepas tewas dalam dua aksi pertama Kumpulan A.

Mereka tewas kepada gandingan di ranking keenam dunia Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia 14-21, 17-21 dalam aksi pembukaan sebelum akur kepada kehebatan pasangan nombor satu dunia dari Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-17, 15-21, 8-21.

Mei Kuan-Meng Yean menjadi wakil kedua daripada kem badminton negara di Tokyo selepas beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang terpaksa mengucapkan ‘selamat tinggal’ lebih awal kepada temasya berkenaan selepas gagal menduduki kedudukan dua teratas kumpulan.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 tewas dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan sekali gus mengulangi pencapaian sama sewaktu membuat penampilan pertama di pentas Olimpik di London pada 2012.

Sementara itu, perseorangan utama wanita negara Soniia Cheah Su Ya akan membuat penampilan sulungnya di temasya Sukan Olimpik apabila dijadual turun beraksi menentang pemain Hungary Laura Sarosi dalam aksi Kumpulan N pukul 2 petang (1 tengah hari waktu Malaysia).

Wakil tunggal beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Woi Yik berdepan aksi wajib menang ke atas gandingan Kanada Jason Ho-Shue-Nyl Yakura dalam aksi terakhir Kumpulan D untuk mara ke pusingan suku akhir pada 8 malam (7 malam waktu Malaysia).

– BERNAMA


Pengarang :