Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad menunjukkan poskad baucar makanan dan alat persekolahan yang di edarkan kepada peserta Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato’ Abdul Hamid, Hulu Selangor pada 29 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Edar poskad hargai penerima vaksin negeri, boleh tebus bantuan

HULU SELANGOR, 29 OGOS: Sebanyak 1,000 poskad penghargaan diedar kepada penerima suntikan pelalian pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.

Penyelaras Pusat Khidmat Rakyatnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata pemegang poskad berkenaan boleh menebus bakul makanan dan barangan persekolahan di pejabatnya pada Oktober depan.

“Inisiatif ini sebagai penghargaan kepada individu hadir untuk melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dalam usaha kita berdepan wabak itu,” katanya ditemui pada program itu di Dewan Dato’ Abdul Hamid di sini, hari ini.

Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad

Saifuddin berkata seramai 3,100 penduduk di DUN berkenaan lengkap dua dos vaksin di bawah Selvax Komuniti yang membantu mencapai sasaran imuniti kelompok bagi memutuskan penularan wabak.

“Selepas ini kita akan fokus pula kepada golongan tercicir di bawah program Selvax bergerak pada bulan depan.

“Kita sasar untuk memberi vaksin kepada sekitar 200 hingga 400 penduduk, penerimanya sedang dikenal pasti pemimpin tempatan,” katanya.

Selvax dilancarkan pada hujung Jun dengan peruntukan RM200 juta membabitkan dua juta dos kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 penduduk yang belum divaksin terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.


Pengarang :