BUDAYARENCANA

Teori konspirasi Frankie Latit

Oleh Ilya Alias

Ilustrasi Matarojit

AH! Apakah ayat terbaik untuk menggambarkan keadaan emosi, fizikal serta kewarasan mindaku saban waktu ini. Setiap ketika, bulan bagaikan naik meskipun hari siang, dan aku persis kucing di tengah-tengah jalan raya yang melahap deruman enjin kenderaan yang lalu lalang; menyesakkan! Tingkap rumah yang baru dihuni beberapa minggu yang lalu masih berhabuk. Penangan virus Covid-19 sangat mendesak. Aku kontang idea untuk meneruskan penulisan manuskrip novel yang sentiasa dihambat oleh editor. Berkali-kali jugalah aku meminta simpati agar diberikan kelonggaran masa kerana serebrum aku seakan terikat untuk mengambangkan idea dan kata-kata. Bahkan, untuk menulis sebuah cerpen pun aku tidak mampu! Mujurlah aku sempat berhijrah ke sebuah apartment baru di tengah-tengah kota. Sejak aku memiliki kunci rumah ini, seluruh kawasan sekitar bagaikan kena sumpah dan berubah kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan. Namun, semua itu langsung tidak memberi kesan kerana ketegangan emosiku sudah tidak dapat dibendung. Apakah ini merupakan fasa kegagalanku sebagai seorang penulis? 

Pagi musim panas tanpa angin ini, aku bertekad akan mengemas rumah. Aku tidak betah lagi menghirup atmosfera habuk dan mungkin juga dengan cara ini, aku dapat meminjam aura penghuni rumah ini yang terdahulu. Aku mula dengan menilik barang-barang yang penuh di dalam kotak dalam sebuah bilik kecil. Segalanya berupa buku dan kertas. Ada juga sebuah mesin taip versi lama yang dibalut kemas. Aku kian tertarik melihat nama yang terukir pada mesin taip tersebut, Frankie Latit. Ya, aku belum kisahkan bahawa aku tidak memilih untuk menyewa rumah ini secara suka-suka. Seorang penulis muda yang terkenal ketika zamannya, Frankie Latit pernah menghuni rumah ini beberapa tahun yang lalu ketika dia masih menuntut di ibu kota. Aku seperti anak kecil yang mendapat gula-gula kapas apabila melihat beberapa naskhah manuskrip lama yang disimpan kemas di dalam kotak-kotak koko besar dan penuh habuk. Aku membuka tingkap untuk membebaskan sebahagian habuk yang sakan menari di udara. Kebanyakan manuskrip tersebut ditulis dengan tulisan tangan dan aku masih dapat membaca sebahagian karyanya. Pandanganku tertancap pada helaian kertas yang disimpan rapi dalam sebuah fail nipis berwarna hijau terang. Helaian-helaian kertas tersebut sudah agak lusuh dimakan waktu. Aku bersila sambil meneliti helaian kertas yang aku kira sangat mengagumkan. Ianya sebuah cerpen yang mengangkat konspirasi kewujudan xenofobia. Aku tidak lama di dalam bilik kecil itu. Nampaknya, jadual untuk membersihkan rumah terpaksa aku ubah. Aku berjalan ke sofa, dan untuk kali pertama menghuni rumah ini, inilah saatnya aku merasa deru bayu yang berpuput laju melalui tingkap di ruang tamu.   

Hatiku terasa penuh dan pastinya ini perasaan yang dialami oleh Thomas Edison apabila tenang mengatakan hal ini kepada anaknya ketika semua keringatnya musnah dijilat api di West Orange pada 10 Disember 1914; 

“Benar, premis kita semuanya bertukar abu, pasti atas kesalahan yang pernah kita lakukan. Esok kita akan mula semula.”

Aku cuba mengawal perasaan teruja dengan mengeluarkan satu tin kopi segera sejuk dari peti ais. Aku duduk bersila di atas sofa dengan penuh debar hendak memulakan pembacaan pada helaian karya yang magis ini. 

Konspirasi yang dibawa oleh penulis ini memang hebat dan disulam dengan unsur-unsur medikal, yang memang menjadi impianku untuk menulis hal-hal begitu. Sejak kali pertama aku menulis, seringkali rakan-rakanku berceramah agar aku mempunyai identiti kepengarangan aku sendiri. Bagaimana? Aku tidak mempunyai latar pendidikan yang hebat, kenal ilmu sains dan biologi, atau ilmu-ilmu ekonomi yang boleh dijadikan kekuatan karya. Kebanyakan karya yang pernah aku tulis segalanya mengangkat isu-isu marhaen serta kehidupan manusia secara total. Aku pernah memaksa diri untuk membaca dan mendalami fakta-fakta mengenai budaya masyarakat di Borneo, dan hal-hal lain yang lebih serius, namun tidak berhasil. Seolah-olah bacaanku tidak lekat dalam kepala di saat aku mahu memuntahkannya sebagai sebuah karya. 

Aku menarik nafas dalam-dalam, menyambung bacaan yang masih suku perjalanan. Naskhah ini ditulis tangan dengan pen dakwat basah, namun tulisannya masih jelas dan langsung tidak terjejas oleh masa. Berbeza dengan naskhah dan helaian karyanya yang lain. Hanya karya ini sahaja yang masih elok benar, barangkali takdirnya untuk bertemuku. Aku semakin teruja apabila melihat sulaman unsur-unsur medikal dengan budaya yang diterapkan oleh penulis yang sejak dahulu aku cemburui bakatnya. Keningku seakan bertaut tatkala menghadam intipati karya ini yang mengangkat isu kedatangan pendatang asing ke tanah air kita.  Kehadiran mereka telah memberi impak negatif kepada psikologi anak-anak generasi baru. Aku menggigit bibir apabila kemuncaknya, diberikan persoalan, apakah keadaan ini bakal menjadi pandemik yang melanda negara? Terus fikiranku berkelintar akan kes kematian Covid-19 yang kian mencanak naik. Apakah penulis ini mempunyai akal magis untuk mentafsir masa depan dan menyulamnya dalam bentuk sebuah karya satira? Aku membelek-belek setiap helaian. Nampaknya, tiada tajuk karya yang ditulis bersama. Aku menarik nafas dalam-dalam.  

Usai menghadam naskhah tersebut, meninggalkan aku dengan perasaan yang langsung aku tidak gemar. Aku menghirup kopi sekali gus sehingga habis. Debar di dada kian ketara. Aku meletakkan semula naskah di atas sofa, merenung apakah keputusan paling sempurna yang mesti aku lakukan. 

Aku mahukan karya ini menjadi milikku, itu sesuatu yang pasti. Aku mahu  nama yang tertera sebagai penulis karya ini ialah diriku, tetapi apakah dosa dan sumpahan yang bakal aku terima sekiranya bulat-bulat mengirimkan karya tersebut kepada editor. Sudah hampir suku tahun penaku sunyi tanpa buah karya. Aku bagaikan tikus yang terjumpa labu di tengah-tengah lubang najis, kelaparan dan tamak. Ah, kepalaku sakit!

Seharian aku cuba mempertimbangkan keputusan yang baik. Bunyi bip yang muncul di tengah-tengah kegalauan memberikan aku kata putus.

Assalamualaikum Ilya, sudah ada cerpen terbaru untuk disiarkan? Lama kami menanti, selepas ini mungkin tiada lagi slot karya untuk kamu sekiranya kosong begini. 

Ada, Tuan. Sekarang juga saya hantarkan. 

Dan, tanpa segan, aku mengirimkan karya tersebut yang aku fikir sesuai tajuknya; Teori konspirasi Frankie Latit! 


Pengarang :