ADN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong meninjau proses vaksinasi dalam program Vaksin Orang Asli di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Desa Temuan Bukit Lanjan pada 11 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Bukit Lanjan cadang PPV dibuka di kampung Orang Asli

PETALING JAYA, 12 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan mencadangkan supaya pemberian vaksin Covid-19 melibatkan perkampungan Orang Asli dibuat terus ke kawasan tersebut dan berperanan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Elizabeth Wong berkata usaha itu dilihat lebih efektif kerana memudahkan golongan daripada kawasan mendapat suntikan pelalian di penempatan yang dekat dengan mereka.

“Aduan diterima Orang Asli berdepan kesukaran dengan sebahagiannya tidak dapat hadir ke PPV yang agak jauh dari perkampungan mereka terutama di daerah Petaling walaupun fasiliti disediakan bagus,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas melawat program Vaksin Orang Asli di PPV Dewan Desa Temuan Bukit Lanjan di sini semalam.

Pemberian vaksin untuk penduduk Kampung Orang Asli Desa Temuan itu adalah di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Beliau berkata program itu memperuntuk lebih 300 dos suntikan vaksin kepada Orang Asli di perkampungan tersebut.


Pengarang :