Air pancuran berirama pelbagai warna menghidupkan suasana di Tasik Shah Alam pada waktu malam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pancuran berirama Laman Budaya dibuka semula sejak Jumaat

SHAH ALAM, 15 SEPT: Laman Budaya Musical Fountain dibuka semula kepada orang ramai untuk aktiviti riadah mulai Jumaat ini, maklum Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam MBSA berkata persembahan pancuran air berirama diadakan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai jam 8.30 hingga 9.30 malam.

Menurut Shahrin Ahmad, pengunjung mestilah sudah menerima suntikan vaksin lengkap selain mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sektor sukan dan rekreasi kerajaan.

“Pengunjung hendaklah memakai pelitup muka, mengimbas kod QR dan suhu badan serta pengamalan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya tiga meter,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan semua taman awam ditutup untuk sebarang aktiviti ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Namun, kerajaan membenarkan taman rekreasi awam di semua negeri dalam fasa satu PPN dibuka untuk tujuan riadah mulai 16 Ogos.


Pengarang :