Tinjauan harga petrol di pam minyak sekitar Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Harga runcit petrol, diesel kekal bagi tempoh seminggu

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel dikekalkan bagi tempoh seminggu bermula esok hingga 27 April.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON97 dan RON95 masing-masing kekal pada RM3.81 dan RM2.05 seliter, manakala diesel ditetapkan RM2.15 seliter.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk itu telah meningkat melebihi paras harga siling ditetapkan, sepertimana dapat dilihat pada harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan mengikut harga pasaran,” menurut kenyataan itu.

Harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petrolum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism.

MOF turut memaklumkan kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

-BERNAMA

 


Pengarang :