Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pindaan jadual kedua akta profesion kesihatan selaras perkembangan perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MPKBM) membuat keputusan meminda Jadual Kedua Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774) selaras dengan perkembangan perkhidmatan kesihatan bersekutu di Malaysia, polisi perkhidmatan awam, perubahan teknologi serta trend semasa di peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan selaku Pengerusi MPKBM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara pindaan adalah dengan mengklusterkan Ahli Sains Klinikal (Biokimia), Ahli Sains Klinikal (Bioperubatan), Ahli Sains Klinikal (Embriologi), Ahli Sains Klinikal (Genetik Perubatan), Ahli Sains Klinikal (Mikrobiologi) dan Pegawai Sains Forensik di bawah satu profesion Ahli Sains Makmal Perubatan.

Selain itu, beliau berkata Perintah Profesion Kesihatan Bersekutu (Pindaan Jadual Kedua) 2022 telah diwartakan dan mula berkuat kuasa pada 24 Mac lepas, dengan jadual baharu itu menyenaraikan 16 Profesion Kesihatan Bersekutu untuk dikawal selia di bawah Akta 774, termasuk ahli audiologi dan dietetik.

Profesion lain yang tersenarai melibatkan ahli-ahli entomologi (kesihatan awam), fisioterapi, fizik perubatan, pemakanan, psikologi klinikal, radiografi diagnostik, sains makmal perubatan, terapi cara kerja, terapi pertuturan – bahasa, terapi radiasi, juruteknologi makmal perubatan, juruteknologi pergigian, pegawai kesihatan persekitaran dan pegawai pendidikan kesihatan.

“Jadual Kedua (2022) ini akan menggantikan Jadual Kedua (2016) yang menyenaraikan 23 profesion sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, MPKBM melalui Mesyuarat Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia ke-5 (Bil. 1/2022) telah bersetuju menetapkan beberapa perkara berkaitan polisi pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu.

Ia termasuk tarikh permulaan pendaftaran pengamal profesion kesihatan bersekutu, tempoh peralihan pendaftaran bagi pengamal, standard kelayakan akademik dan kelulusan permohonan pendaftaran serta Kod Etika dan Tatakelakuan Profesional.

Selain itu, MPKBM menetapkan tarikh permulaan pendaftaran bagi pengamal Profesion Kesihatan Bersekutu pada 1 Julai tahun ini dan tempoh peralihan bagi pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu adalah untuk tempoh tiga tahun mulai tarikh itu hingga 30 Jun 2025 (tertakluk kepada keputusan Majlis).

Menurut kenyataan itu, Majlis juga menetapkan bahawa pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu akan dilaksanakan secara penggiliran mengikut jadual yang akan dimaklumkan kemudian.

“Permohonan Perakuan Pendaftaran dan Perakuan Amalan akan dijalankan secara dalam talian sepenuhnya dengan menggunakan aplikasi Malaysian Healthcare Practitioners’ System (MHPS).

“Permohonan Perakuan Amalan dijangka hanya akan bermula pada November 2022, manakala bagi permohonan Perakuan Amalan Sementara untuk pengamal (bukan warganegara) akan dilaksanakan secara manual,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sesi taklimat bagi menerangkan perkara berkaitan polisi pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu dilaksanakan secara berperingkat mulai Jun, dan garis panduan berkaitan pendaftaran serta amalan kesihatan bersekutu akan dikeluarkan oleh MPKBM dari semasa ke semasa mulai Julai untuk dijadikan rujukan semasa oleh pengamal.

– BERNAMA


Pengarang :