Peserta menunjukkan isyarat bagus ketika di periksa petugas kesihatan sempena program Selangor Saring di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Yoke Kuan, Sekinchan, Sabak Bernam pada 5 Jun 2022 . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

3,215 individu jalani pemeriksaan kesihatan percuma sejak Mei

SABAK BERNAM, 5 JUN: Seramai 3,215 individu menjalani saringan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring sejak dianjurkan pada 22 Mei lalu.

Ahli penasihat kesihatan awam Selangor berkata sejumlah 3,157 individu menjalani ujian darah, ujian air kencing (3,206), saringan serviks (1,520), ujian najis (454), mammogram (418) dan pemeriksaan mata (960).

Jelas Dr Mohammad Farhan Rusli, jumlah pemeriksaan dan ujian ini berbeza kerana saringan tidak diambil secara pukul rata di semua stesen kerana penilaian faktor risiko dibuat terlebih dahulu.

“Jika tiada sejarah penyakit, mereka tidak perlu buat. Kaedah ini digunakan supaya keberkesanan dapat diberikan semaksimumnya dan elak pembaziran kerana saringan diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.

“Namun, berdasarkan jumlah ini kita tidak menjangka peserta yang mengikuti saringan serviks sangat memberangsangkan,” katanya ditemui di program Selangor Saring Dewan Undangan Negeri Sekinchan hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, masalah obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Program bermula pada 22 Mei hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :