Petugas kesihatan memberi penerangan kepada peserta ketika program Selangor Saring di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Yoke Kuan, Sekinchan, Sabak Bernam pada 5 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor Saring DUN Sekinchan tampil sesi taklimat kesihatan

SABAK BERNAM, 5 JUN: Program Selangor Saring di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan hari ini berbentuk mega dan membawa sedikit kelainan.

Ahli Penasihat Kesihatan Awam Selangor Dr Mohammad Farhan berkata pemeriksaan kesihatan percuma itu menampilkan sesi taklimat kesihatan.

“Kita sediakan ruangan atau booth Selangor Mental Sihat (Sehat) dan membawa pakar-pakar perubatan seperti pakar bedah, mata, sakit puan dan kolorektal.

“Taklimat ini bukan sahaja untuk rakyat tetapi diberikan kepada petugas-petugas di DUN terlibat supaya dapat menyebarkan ilmu kesihatan yang tepat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui selepas hadir ke program Selangor Saring DUN Sekinchan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Kuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Farhan berkata hampir 100 peserta hadir menjalani menjalani pemeriksaan kesihatan setakat jam 11 pagi tadi.

Jelas beliau, biarpun jumlah itu agak perlahan berikutan faktor cuti hujung minggu yang agak lama tetapi kehadiran penduduk sekitar agak memberangsangkan.

“Di awal program kehadiran peserta kira-kira 67 individu, kemudian meningkat kepada lebih 100 di lokasi berikutnya. Kita sasarkan kehadiran di kawasan luar bandar mencecah 500 peserta.

“Namun, matlamatnya bukan mengejar nombor tetapi menanam pemahaman rakyat tentang kepentingan saringan dan pencegahan lebih baik daripada merawat,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :