Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) membantu wanita memulakan perniagaan dengan mudah, cepat dan tidak membebankan. Foto Facebook Hijrah Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Karnival bantuan baharu untuk rakyat di Ampang 19 Jun

SHAH ALAM, 15 JUN: Karnival Jelajah Selangor Penyayang bagi mempromosi inisiatif kebajikan rakyat dijadual berlangsung di Padang Taman Kosas, Ampang Ahad ini.

Menurut Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, program melibatkan 23 anak syarikat negeri bertemakan Kehidupan Bermartabat akan diadakan bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Jelasnya, agensi terlibat bakal menguar-uarkan insentif negeri antaranya Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Lembaga Perumahan Selangor berkenaan Rumah Selangorku.

“Pendaftaran untuk semua inisiatif negeri juga dibuka seperti pinjaman Hijrah dan bantuan Yayasan Warisan Anak Selangor untuk memudahkan penduduk membuat pemohonan,” kata pemerbadanan itu.

Selain menghebahkan maklumat inisiatif, program yang bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut diserikan pelbagai acara antaranya senamrobik, gubahan bunga dan sukan rakyat.

Pelaksanaan inisiatif membabitkan peruntukan RM350 juta ini menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Jelajah itu turut dijadual diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.


Pengarang :