Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji.
AGENDAJENAYAH

Kes pukul: Pelakon lelaki direman tiga hari

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Seorang pelakon lelaki popular direman selama tiga hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes menumbuk dan menendang seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di sini, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pelakon berusia 30-an itu ditahan tengah hari semalam di kediamannya di kondominium sama.

“Kejadian berpunca apabila mangsa telah meminta rakannya menghantar barang ke kediamannya kira-kira pukul 8 malam namun tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan di kondominium itu, mangsa kemudian turun ke lobi untuk bertanya kepada pengawal keselamatan tentang perkara tersebut dan berlaku pentengkaran di antara mereka berdua.

“Artis lelaki berkenaan yang turut berada di lobi itu kemudian secara tiba-tiba datang dan dipercayai menumbuk dan menendang mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Habibi berkata mangsa dikatakan telah ditumbuk dan ditendang di bahagian muka, dada, perut dan belakang badan dan suspek disyaki turut mengugut mangsa.

“Mangsa membuat laporan polis pagi semalam (kelmarin) dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana memukul dan melakukan ugutan jenayah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :