Pertandingan bola sepak bawah lapan dan 10 tahun diadakan dalam Jelajah Selangor Penyang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto Twitter SELANGOR PENYAYANG
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ribuan banjiri Jelajah Selangor Penyayang di Ampang

AMPANG, 19 JUN: Lebih 3,000 pengunjung pelbagai usia dan kaum memeriahkan Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang yang berlangsung sejak 7.30 pagi setakat tengah hari ini.

Pelbagai acara dianjurkan antaranya aktiviti senamrobik, pertandingan e-sukan Mobile Legend, pertandingan bola sepak kanak-kanak lapan dan bawah 10 tahun, pertandingan futsal berkain batik dan gubahan bunga.

Selain itu, penonton turut dihiburkan dengan nyanyian daripada penyanyi terkenal Datuk Nash dan pendatang baharu Iman Troye.

Sekumpulan kanak-kanak terlibat dalam pertandingan mewarna dalam Jelajah Selangor Penyang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto Twitter SELANGOR PENYAYANG

Lebih ramai dijangka hadir program berkenan yang membuka tirai hari ini hingga jam 5.30 petang bertujuan mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat dengan penyertaan 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta bawah Iltizam Selangor Penyayang menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Peminat e-sukan tidak melepaskan peluang menyertai kejohanan Mobile Legend Bang Bang Jelajah Selangor Penyang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto Twitter SELANGOR PENYAYANG

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan majlis perasmian program seterusnya menyerahkan surat tawaran kepada pembeli Rumah Selangorku, aset Pejabat Daerah Tanah untuk Bilik Gerakan Bencana Daerah dan hadiah kepada pemenang Kempen FPX Smart Selangor Citizen E-Payment.

Jelajah itu turut dijadual diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.


Pengarang :